GEORGE TOWN : Seorang lelaki mengaku bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan api iaitu membakar sebuah kenderaan jenis Mitsubishi Xpander, kira-kira lima bulan lalu.
Tertuduh, S. Hari Ram, 39, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan khianat dengan api dengan niat menyebabkan kerosakan terhadap kenderaan berkenaan yang dimiliki oleh seorang lelaki berusia 34 tahun.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta Blok 247, Taman Cemerlang, Jalan Perak, dalam daerah Timur Laut di sini kira-kira pukul 4.01 pagi pada 3 Mei lepas.
Justeru, pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, M. Darrshini memohon kepada mahkamah agar menetapkan satu tarikh bagi membolehkan pihak pendakwaan menyediakan fakta kes, dokumen berkaitan serta mendapatkan laporan daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Pihak pendakwaan turut menawarkan jaminan sebanyak RM20,000 dengan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan. Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai penjamin.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 2 Disember ini bagi penyerahan fakta kes dan penetapan hukuman.
Dalam kejadian pada 3 Mei itu, lima buah kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir sebuah pangsapuri di Jalan Perak, di sini musnah dijilat api.
Selain Mitsubishi Xpander, kenderaan lain yang turut terbakar dalam kejadian itu ialah Nissan Grand Livina, Perodua Myvi, Toyota Hiace serta Poton Preve yang mengalami kemusnahan antara lima hingga 80 peratus.-UTUSAN











