KPM teliti dakwaan pakatan sulit tender bekalan makanan sekolah, sedia kerjasama SPRM

KPM teliti dakwaan pakatan sulit tender bekalan makanan sekolah, sedia kerjasama SPRM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti secara lanjut dakwaan kemungkinan wujudnya kartel atau pakatan sulit dalam proses tender Perkhidmatan Bekalan Makanan Bermasak (BMB) Fasa 2 Tahun 2026 bagi tempoh 2027 hingga 2029.

Ketua Setiausahanya, Datuk Wan Hashim Wan Rahim berkata, kementerian memandang serius perkara itu dan bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta pihak berkuasa berkaitan sekiranya penelitian atau siasatan lanjut diperlukan.

Beliau berkata, dakwaan sedemikian perlu dinilai berdasarkan fakta dan bukti yang sahih serta tidak boleh disimpulkan hanya berdasarkan persamaan alamat pendaftaran atau latar belakang perniagaan syarikat semata-mata.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebarang perkara yang boleh menimbulkan keraguan terhadap integriti proses perolehan, termasuk hubungan antara petender, kemungkinan pertindihan kepentingan dan corak penyertaan dalam tender, akan diteliti sewajarnya bagi memastikan ketelusan dan integriti proses perolehan sentiasa terpelihara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan menggesa SPRM menyiasat 213 pemberian kontrak bekalan makanan sekolah oleh KPM yang bernilai RM1.32 bilion, dengan menyuarakan kebimbangan mengenai alamat perniagaan, keupayaan kewangan, dan pengalaman pihak penerima kontrak.

Wan Saiful menyatakan bahawa lebih daripada 100 penerima kontrak memberikan alamat yang kelihatan seperti hartanah kediaman, kawasan kampung, atau pangsapuri, manakala hanya kira-kira 70 daripadanya jelas terletak di premis komersial.

Mengulas lanjut, Wan Hashim berkata, sebanyak 245 tender telah diiklankan bagi BMB Fasa 2 Tahun 2026, melibatkan 62,641 petender.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 242 tender telah diberikan kepada syarikat yang berjaya, manakala dua tender dibatalkan bagi tujuan kerja menaik taraf blok asrama dan satu tender ditangguhkan berikutan perubahan tarikh kuat kuasa kontrak.

Mengulas isu perbezaan nilai kontrak, beliau berkata, penetapan anggaran harga bagi setiap kontrak BMB adalah berbeza mengikut jumlah murid serta kategori sekolah dan institusi.

Katanya, kontrak yang merekodkan nilai tertinggi, iaitu mencecah RM38.7 juta, melibatkan sekolah sukan yang memerlukan penyediaan menu bernutrisi tinggi dan seimbang yang telah diluluskan oleh kerajaan bagi menyokong keperluan pemakanan bakal atlet negara berprestasi tinggi.

“Kos sajian harian di sekolah sukan berkenaan dianggarkan antara RM90.84 hingga RM92.93 bagi seorang murid sehari, manakala kontrak bernilai lebih rendah melibatkan sekolah rendah atau menengah biasa dengan anggaran harga antara RM26.10 hingga RM31.65 bagi seorang murid sehari.

“Perbezaan nilai kontrak perlu dilihat berdasarkan keperluan dan spesifikasi perkhidmatan setiap institusi, termasuk jumlah murid serta keperluan pemakanan yang ditetapkan,” katanya.

Berhubung kelayakan syarikat pembekal, Wan Hashim berkata, semua syarikat yang berjaya disahkan memiliki pendaftaran sah dengan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) di bawah Kod Bidang 040103 bagi Makanan Bermasak Islam.

Selain penilaian pengalaman dan pematuhan kepada syarat yang ditetapkan, setiap syarikat terpilih diwajibkan memenuhi keperluan mandatori berkaitan keselamatan dan kualiti makanan, termasuk pensijilan atau pengiktirafan yang berkenaan di bawah Program Keselamatan dan Kualiti Makanan (PKKM).

Katanya, semua pekerja juga perlu mempunyai sijil kursus pengendali makanan yang sah sebelum perkhidmatan dimulakan.

“Penilaian kelayakan syarikat yang mempunyai latar belakang perniagaan dalam sektor selain pembekalan makanan tidak dibuat berdasarkan nama atau profil perniagaan semata-mata, sebaliknya berdasarkan syarat dan kriteria yang ditetapkan dalam dokumen tender,” katanya.

Mengenai kebimbangan berhubung fasiliti operasi dan alamat syarikat, beliau menjelaskan bahawa kontrak perkhidmatan itu dilaksanakan berteraskan konsep sedia, masak dan hidang (cook and serve) sepenuhnya di premis dapur sekolah serta institusi berkaitan.

Ini bermakna, katanya, pembekal tidak memasak atau mengendalikan makanan di premis luar mahupun di alamat pendaftaran perniagaan mereka, sebaliknya menggunakan kemudahan dapur asrama yang disediakan oleh pihak sekolah.

“Alamat yang didaftarkan oleh syarikat, termasuk alamat kediaman yang lazim bagi entiti milikan perniagaan, adalah untuk tujuan rekod pendaftaran rasmi dan urusan pentadbiran semata-mata.

“Bagaimanapun, KPM mengambil maklum berhubung dapatan syarikat yang berkongsi alamat pendaftaran sama dan perkara itu akan diteliti secara lanjut bagi memperkukuh tadbir urus tender Kementerian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, syarikat yang dipilih diwajibkan mempunyai modal pusingan sekurang-kurangnya tiga hingga lima peratus daripada nilai anggaran kontrak bagi memastikan kelancaran operasi dan keupayaan aliran tunai pembekal.

KPM turut melaksanakan semakan silang penyata kewangan dengan institusi perbankan berkaitan terhadap petender yang berjaya sebelum Surat Setuju Terima (SST) dikeluarkan bagi memastikan kedudukan kewangan mereka memenuhi keperluan ditetapkan.

Mengenai dakwaan penarikan balik keputusan tender, beliau menegaskan bahawa tiada sebarang penarikan balik terhadap keputusan yang telah dimuktamadkan secara sah bagi tender BMB Fasa 2 Tahun 2026.

“Maklumat rasmi berkaitan keputusan perolehan boleh disemak menerusi portal MyProcurement,” katanya.

Berhubung dakwaan tender BMB di Asrama SMK Seri Badong, Kedah ditawarkan kepada syarikat beralamat di Terengganu, semakan silang maklumat pendaftaran dalam sistem e-Perolehan mendapati petender yang berjaya bagi sekolah berkenaan mempunyai alamat berdaftar di Yan, Kedah.

Beliau berkata, semua kriteria penilaian, termasuk merit lokaliti, telah dinyatakan dengan jelas dalam dokumen tender yang diiklankan melalui sistem e-Perolehan, dengan lokaliti menjadi salah satu elemen penilaian bagi pemilihan syarikat.

Wan Hashim berkata, KPM kekal komited memastikan setiap perolehan mematuhi tatakelola bagi menjamin kualiti pemakanan, keselamatan serta kebajikan murid di seluruh negara sentiasa berada pada tahap terbaik.

Katanya, kementerian akan terus menambah baik tadbir urus perolehan dari semasa ke semasa bagi memastikan kepentingan murid sentiasa dilindungi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini