PETALING JAYA: Median upah bulanan pekerja sektor formal meningkat 4.8 peratus kepada RM3,000 pada Jun 2026, seiring pertambahan bilangan pekerja formal warganegara kepada 7.2 juta orang.
Jumlah itu mencatatkan pertumbuhan 3.3 peratus tahun ke tahun berbanding 6.97 juta pekerja pada Jun 2025.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, berdasarkan jantina, pekerja formal lelaki yang merangkumi 55.1 peratus daripada keseluruhan pekerja formal warganegara atau 3.97 juta orang menerima median upah bulanan sebanyak RM3,000.
Katanya, pekerja formal wanita pula merangkumi 44.9 peratus atau 3.23 juta orang dengan median upah bulanan sebanyak RM2,964.
“Pekerja formal berumur 45 hingga 49 tahun terus mencatatkan median upah bulanan tertinggi sepanjang suku kedua 2026, iaitu RM4,000 pada April serta RM3,945 masing-masing pada Mei dan Jun.
“Peningkatan tahun ke tahun tertinggi bagi median upah bulanan dicatatkan dalam kalangan pekerja formal berumur 50 hingga 54 tahun.
“Median upah bulanan bagi pekerja berumur bawah 20 tahun pula kekal tidak berubah pada RM1,700 sejak Februari 2025,” katanya dalam kenyataan.
Mengikut aktiviti ekonomi, sektor perlombongan dan pengkuarian yang hanya merangkumi 0.5 peratus daripada jumlah pekerja formal mencatatkan median upah bulanan tertinggi sebanyak RM6,722 pada Jun 2026.
“Sebaliknya, sektor pertanian yang menyumbang 1.8 peratus daripada jumlah pekerja formal melaporkan median upah bulanan terendah sebanyak RM2,282 dalam tempoh sama.
“Merentasi negeri, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur merekodkan median upah bulanan tertinggi pada Jun 2026 sebanyak RM4,245, diikuti Selangor sebanyak RM3,245 dan Pulau Pinang sebanyak RM3,000.
“Median upah bulanan terendah pula dicatatkan di Kelantan sebanyak RM1,827, Perlis (RM1,864) dan Sabah (RM2,045),” katanya.
DOSM berkata, peratusan pekerja formal warganegara yang menerima upah bulanan di bawah RM1,700 menurun kepada 8.2 peratus pada Jun 2026, berkurang 2.2 mata peratus berbanding 10.4 peratus pada Jun 2025.
“Analisis persentil menunjukkan 10 peratus pekerja formal terendah menerima RM1,700 atau kurang sebulan, manakala 10 peratus pekerja formal tertinggi menerima upah bulanan sekurang-kurangnya RM9,600.
“Oleh itu, pekerja pada persentil ke-90 menerima upah lebih lima kali ganda berbanding kumpulan upah terendah, menggambarkan jurang upah antara golongan berpendapatan tertinggi dan terendah.
“Secara keseluruhan, prestasi pasaran buruh formal Malaysia kekal stabil dan berdaya tahan pada suku kedua 2026, disokong pertumbuhan berterusan bilangan pekerja formal dan median upah bulanan,” katanya. –UTUSAN











