PETALING JAYA: Semua pasukan penguatkuasaan diarahkan untuk bertindak tegas tanpa kompromi terhadap sebarang cubaan menceroboh sempadan negara susulan pemergian anggota Unit Perisikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laskar Kanan Maritim (Teknikal) Mohd. Roshaimi Mohd. Ridzuan, ketika bertugas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau amat terkesan dengan pemergian Allahyarham dan kecewa dengan tindakan pihak yang menggugat keselamatan negara.
Katanya, pengorbanan Mohd. Roshaimi tidak boleh dibiarkan menjadi sia-sia sebaliknya sebarang cubaan menceroboh sempadan negara perlu ditangani dengan tegas tanpa kompromi.
“Saya dan seluruh pasukan bertekad untuk bertindak tegas terhadap dalang dan sindiket penyeludupan warga asing serta mana-mana pihak yang melindungi atau bersubahat dengan mereka.
“Petualang yang mengizinkan kedaulatan negara kita dicabul juga mesti diheret ke muka pengadilan. Nyawa anggota keselamatan dan kedaulatan tanah air tidak boleh dipertaruhkan,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu, media melaporkan seorang anggota Maritim Malaysia maut manakala tiga lagi cedera dalam operasi penguatkuasaan melibatkan pendatang asing tanpa izin (PATI) di perairan Kuala Sungai Padang, Perlis, malam semalam. – UTUSAN











