BANGI: Jumlah syarikat yang memiliki sijil halal di Malaysia masih belum mencapai tahap memuaskan meskipun negara mempunyai reputasi kukuh dalam pensijilan halal di peringkat antarabangsa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan berkata, walaupun jumlah pemegang sijil halal menunjukkan peningkatan mendadak namun pencapaian itu masih belum memenuhi tahap yang dihasratkan.
Menurutnya, Malaysia perlu memperkukuh pembangunan industri halal dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada pensijilan, malah pengkomersialan produk dan keupayaan menembusi pasaran eksport.
“Cuba kita lihat potensi yang ada. Di Malaysia ada lebih 400,000 syarikat, tetapi pemegang sijil halal masih belum memuaskan.
“Walaupun kita sudah mempunyai pemegang sijil halal yang mendadak kenaikannya, tetapi jumlahnya belum lagi sampai ke tahap yang kita impikan.
“Oleh itu, kita mahu melihat industri halal berkembang daripada pensijilan kepada pengkomersialan, daripada kesediaan memasuki pasaran kepada keupayaan mengeksport, dan daripada pemain tempatan kepada peneraju industri halal di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Persidangan Kebangsaan Eksekutif Halal 2026 (PEH 2026) dan Pelancaran Global Halal School di sini, hari ini.
Menurut Zulkifli, Malaysia perlu bergerak daripada sekadar menjadi peneraju pensijilan halal kepada penguasaan industri halal di peringkat antarabangsa.
Katanya, walaupun Malaysia mempunyai reputasi kukuh dalam pensijilan halal, negara masih ketinggalan dalam beberapa sektor industri berkenaan.
“Cuba kita lihat bagaimana industri kosmetik pasaran dunia. Walaupun kita terkenal dengan pensijilan, namun Malaysia hanya mewakili satu peratus industri kosmetik halal dunia.
“Negara-negara lain masih mendahului walaupun pensijilan itu kita masih terkehadapan. Dari sudut eksport halal, kita berada di tangga kedua,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan pemain industri supaya tidak terlalu selesa dengan pencapaian sedia ada memandangkan negara pesaing semakin meningkatkan keupayaan masing-masing.
Katanya, Malaysia perlu terus berinovasi dan meningkatkan daya saing bagi memastikan kedudukannya dalam industri halal global tidak dipintas oleh negara yang mempunyai pasaran lebih besar. – UTUSAN











