34 sistem EWS dipasang di lokasi cerun berisiko

34 sistem EWS dipasang di lokasi cerun berisiko

SYED IBRAHIM SYED NOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 34 sistem amaran awal (EWS) di pasang di lokasi cerun berisiko tinggi di seluruh negara bagi memperkukuh pemetaan risiko bencana negara, selain penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan analitik data raya.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, kesemua 34 sistem EWS yang dipasang JMG itu dilengkapi peralatan pemantauan, siren dan lampu amaran bagi meningkatkan kesiapsiagaan penduduk di kawasan berisiko tanah runtuh.

Katanya, usaha itu juga melibatkan pemetaan bahaya dan risiko cerun Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) yang setakat ini meliputi kawasan seluas hampir 3,000 kilometer persegi, termasuk tanah tinggi dan Kundasang, Sabah.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagi memperkukuh ketepatan dan keupayaan pemetaan tersebut, JMG terus memanfaatkan teknologi GIS (Sistem Maklumat Geografi), penderiaan jauh, Interferometric Synthetic Aperture Radar (InSAR) dan Light Detection and Ranging (LiDAR).

“Menerusi maklumat ini, kita boleh uruskan melalui platform geospatial yang ada, iaitu Sistem Maklumat Geospatial Mineral dan Geosains Malaysia (MyGEMS) dan National Terrain and Slope Information System (NaSIS), untuk menyokong perkongsian maklumat supaya ada penilaian risiko bencana yang baik,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Verdon Bahanda (Bebas-Kudat) mengenai usaha kerajaan memperkukuh pemetaan risiko bencana negara, termasuk penggunaan teknologi terkini bagi meningkatkan ketepatan ramalan dan keberkesanan sistem amaran awal.

Syed Ibrahim berkata, pemetaan juga membolehkan kawasan berpotensi mengalami tanah runtuh dan kegagalan cerun dikenal pasti lebih awal, sekali gus menjadi rujukan dalam perancangan pembangunan serta kesiapsiagaan penduduk menghadapi bencana.

Sementara itu, beliau berkata JMG turut membangunkan sistem analitik data raya GeoSlide yang memanfaatkan data hujan dan geologi bagi menyokong penilaian risiko tanah runtuh dengan lebih berkesan.

Katanya, kementerian juga menghasilkan peta bahaya seismik dan peta seismotektonik Malaysia bagi mengenal pasti tahap bahaya gegaran gempa bumi serta zon sesar yang berpotensi mendatangkan ancaman.

Beliau berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula memperkukuh pemantauan dan ramalan cuaca ekstrem, gempa bumi serta tsunami melalui rangkaian radar cuaca, satelit dan stesen pencerapan.

“Keupayaan ini kita tingkatkan lagi melalui penggunaan komputer berprestasi tinggi (HPC), AI dan sistem Radar Integration Nowcasting System (RIN) supaya kita mempunyai maklumat ramalan cuaca dan hujan yang lebih tepat, terperinci dan bersasar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini