Britain bina 'Iron Dome' AI lindungi Eropah

Britain bina ‘Iron Dome’ AI lindungi Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Britain sedang membangunkan peluru berpandu berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang mampu membentuk kubah pertahanan bagi melindungi bandar-bandar Eropah daripada kemungkinan serangan dron Rusia pada kos jauh lebih rendah berbanding sistem buatan Amerika Syarikat (AS).

Sistem pertahanan udara baharu dikenali sebagai Contra itu diperkenalkan syarikat pertahanan Helsing pada Isnin bagi menangkis dron berenjin jet canggih dan peluru berpandu kruis Russia, ketika serangan menggunakan senjata berkenaan semakin meningkat di Ukraine sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Teknologi AI canggih yang disepadukan dengan radar dan sensor mampu mengesan ancaman udara dengan pantas sebelum menentukan sama ada perlu melancarkan salah satu daripada dua peluru berpandu pemintas baharu, iaitu AD-1 Inferno dan AD-2 Ambush.

Memuatkan artikel berkaitan…

Konsep sistem itu menyamai sistem pertahanan udara Iron Dome Israel yang menyediakan perlindungan maya bagi melindungi kawasan dan lokasi strategik daripada serangan udara.

Pengeluaran dron berenjin jet Geran-4 dan Geran-5 oleh Russia meningkat dengan negara itu kini mampu menghasilkan 4,000 unit sebulan, menurut laporan risikan.

Moscow juga berupaya melancarkan ratusan dron itu dalam satu-satu masa sekali gus mengancam infrastruktur kritikal, syarikat pertahanan dan pangkalan tentera di seluruh Eropah.

Menurut Helsing, sistem baharunya mampu menangani ancaman itu menerusi teknologi AI yang boleh mengesan dan menyelaraskan pemintasan terhadap ratusan malah ribuan dron serta peluru berpandu kruis yang menghampiri secara serentak.

“Sistem Contra menamatkan dilema pertahanan udara, sama ada menggunakan dron perlahan yang hanya sesuai dalam keadaan cuaca baik atau peluru berpandu bernilai jutaan euro untuk memusnahkan sasaran murah yang dihasilkan secara besar-besaran,” kata pengasas bersama merangkap presiden Helsing, Niklas Köhler.

Menurut laporan Daily Mail, sebahagian besar pembangunan kedua-dua peluru berpandu baharu itu dilaksanakan di Britain.

Kedua-dua peluru berpandu itu berharga kurang daripada 100,000 pound (RM545,213) seunit, jauh lebih murah berbanding sistem berteknologi tinggi seperti peluru berpandu Patriot buatan AS yang berharga lebih 3 juta pound (RM16 juta) seunit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini