JOHOR BAHRU: Parti komponen Barisan Nasional (BN) diminta menyelesaikan sebarang pertikaian secara berhemah di meja rundingan demi mempertahankan perpaduan gabungan itu, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Mohd. Hairi Mad Shah berkata, langkah itu merupakan tindakan yang sewajarnya sekali gus mengelak memberi peluang kepada lawan menangguk di air keruh.
Beliau turut mempersoal tindakan PKR yang dilihat ‘kuat menyalak’ dan mencampuri urusan hubungan dalaman BN khususnya antara UMNO dan MCA.
“Naib Presiden PKR, Naib Ketua Wanita PKR hingga Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan, semuanya berebut memberi ceramah tentang keikhlasan, prinsip dan cara menjaga rakan gabungan.
“Saya hanya mahu bertanya satu soalan mudah, berapa kerusi yang dimenangi PKR di Melaka. Yang bercakap soal ‘abang besar’ itu datang daripada parti yang tidak mampu mempertahankan walau satu kerusi.
“Rumah sendiri kelam-kabut, ada hati sibuk nak jaga rumah orang. Baru-baru ini, bekas Timbalan Presiden dan bekas Naib Presiden PKR, serta beberapa Ahli Parlimen mereka sendiri angkat kaki, mengosongkan kerusi dan menyertai parti lain,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Mohd. Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin turut berkata, PKR tidak layak bercakap soal hormat atau keikhlasan kerana pemimpin nombor dua parti itu sendiri memilih meninggalkan parti.
“Kalau pemimpin yang pernah menjadi orang nombor dua parti pun memilih keluar dari rumah sendiri, apa moral PKR untuk bercakap soal hormat-menghormati dan keikhlasan. Bersihkan dulu laman sendiri sebelum menjenguk pagar jiran.
“BN akan turun ke gelanggang PRN Melaka sebagai satu pasukan. Urusan keluarga BN akan diselesaikan dalam keluarga BN. PKR tidak perlu menjadi orang tengah, apatah lagi penasihat yang tidak diundang,” katanya.
Tambah beliau, penubuhan BN melibatkan rakan-rakan parti komponen bukan perkara baharu sebaliknya sudah terjalin sejak bertahun lamanya.
“Buat sahabat-sahabat komponen BN, MCA, MIC, PPP, PBRS dan Friends of BN, kita mengenali antara satu sama lain bukan sehari, bukan sebulan. Sebagai rakan yang susah senang bersama, menang kalah bersama, jadilah sahabat yang matang.-UTUSAN











