MFL perlu presiden baharu segera, elak Ab Ghani terbeban

MFL perlu presiden baharu segera, elak Ab Ghani terbeban

Ab Ghani Hassan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) perlu segera melantik presiden baharu bagi membolehkan Datuk Ab Ghani Hassan memberikan tumpuan sepenuhnya kepada tugas menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tanpa dibebani tanggungjawab berganda.

Lebih sebulan selepas menyatakan kesediaan melepaskan jawatan Presiden MFL, Ab Ghani setakat ini masih belum berundur daripada badan pengelola liga domestik itu, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kelewatan memuktamadkan peralihan kepimpinan berkenaan.

Pemerhati bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd Karim berpandangan, kedua-dua jawatan presiden itu menuntut komitmen tinggi dan tanggungjawab besar, terutama ketika FAM memerlukan perhatian serius untuk memulihkan imej serta keyakinan terhadap pentadbirannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memegang dua jawatan presiden menyaksikan dua tugas yang berbeza dan berat, jadi memang sepatutnya perlu dilepaskan dan dilantikkan segera presiden MFL yang baharu.

“Dengan keadaan FAM sekarang dan penggal kali ini hanya ada tempoh masa dua tahun lebih, beliau sepatutnya memberi fokus sepenuhnya kepada FAM dan melepaskan tanggungjawab MFL kepada individu yang selayaknya.

“Mungkin ada sesuatu sedang diuruskan yang kita tak tahu, orang ramai tak tahu, rakyat jelata tak diberitahu hingga menyebabkan peralihan kuasa tidak berjalan lancar,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pada 17 September lalu, Ab Ghani mengesahkan kesediaannya melepaskan jawatan Presiden MFL bagi membolehkannya menumpukan perhatian kepada tanggungjawab baharu menerajui badan induk bola sepak negara itu. 

Malah, setakat ini nama calon yang dikatakan bakal dipertimbangkan untuk mengisi jawatan berkenaan masih kekal rahsia.

Zulakbal, yang juga Pensyarah Kanan Sains Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), turut mempersoalkan tempoh yang diperlukan untuk memuktamadkan pelantikan pengganti Ab Ghani, sedangkan sebelum ini dimaklumkan bahawa calon bagi mengisi jawatan itu sudah dikenal pasti dan sedang dipertimbangkan.

“Sebelum ini ada cakap sudah ada calon dan sedang dipertimbangkan. Apa sudah jadi dengan calon itu, berapa lama masa diperlukan?” soalnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini