Penempatan 491,649 murid Tahun 1 selesai

Penempatan 491,649 murid Tahun 1 selesai

MOHD. HANAFI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyelesaikan urusan penempatan bagi semua permohonan ke Tahun Satu untuk sesi akademik 2027 melibatkan kohort umur enam dan tujuh tahun berjumlah 491,649 orang.

Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian (BPSH), KPM, Mohd. Hanafi Samad berkata, semua permohonan pendaftaran ke Tahun 1 bagi kohort umur enam tahun diterima masuk ke Tahun 1 pada tahun 2027 melibatkan sebanyak 73,498 murid, manakala 418,151 bagi kanak-kanak kohort umur tujuh tahun setakat permohonan pada 30 September lalu.

“KPM telah membuat ketetapan untuk memperluas akses kemasukan ke Tahun Satu dengan memberikan pilihan kepada ibu bapa mendaftarkan anak kohort umur enam tahun mulai Kalendar Akademik Tahun 2027.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Pelaksanaan ini dilaksanakan berdasarkan pilihan ibu bapa, manakala kemasukan kohort umur tujuh tahun kekal sebagai laluan utama sepanjang tempoh peralihan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kemasukan murid Tahun Satu berumur enam tahun dan tujuh tahun bagi sesi akademik 2027 di sejumlah 7,773 sekolah rendah seluruh negara.

Menurut Mohd. Hanafi, KPM telah mengambil kira keperluan dan implikasi pelbagai perkara termasuk aspek prasarana yang melibatkan infrastruktur sebagai persiapan bagi memastikan kesiapsiagaan susulan pelaksanaan da­sar ini yang akan mewujudkan situasi dua kohort pada tahun 2027.

Dalam aspek infrastruktur pendidikan, katanya, KPM te­­lah melaksanakan perancangan prasarana secara menyeluruh bagi menampung pertambahan kemasukan murid Tahun Satu meliputi pembinaan bilik darjah tambahan, pengoptimuman premis, penukaran fungsi ruang sedia ada kepada bilik darjah dan operasi dua sesi.

“Sebanyak 2,596 bilik darjah baharu sedang dibina menggunakan kaedah IBS modular melibatkan 838 buah sekolah yang akan disiapkan pada tahun ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau ber­kata, KPM juga melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian dan naik taraf kemudahan sedia ada di sekolah-sekolah yang terlibat bagi meningkatkan kapasiti infrastruktur dan menyediakan ruang pembe­lajaran yang mencukupi serta kondusif.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh memaklumkan, daripada aspek kesiapsiagaan guru, KPM membuat perancangan keperluan guru berdasarkan unjuran enrolmen dan keperluan sebenar sekolah.

Katanya, seramai 3,150 guru Contract of Service (CoS) akan dilantik pada 7 Disember bagi membantu memastikan keperluan tenaga pengajar dipenuhi, terutama untuk me­nampung pertambahan en­­rol­men murid kohort enam tahun.

Beliau menjelaskan, KPM akan terus memantau perkembangan pendaftaran dan kesiapsiagaan setiap sekolah serta melaksanakan penyelarasan dari semasa ke semasa, termasuk dari aspek penempatan murid, keperluan guru, kapasiti bilik darjah dan prasarana.

Langkah ini bagi memastikan pengoperasian Tahun Satu bagi Kalendar Akademik 2027 dapat dilaksanakan dengan lancar dan kondusif tanpa menjejaskan akses serta kualiti pendidikan murid. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini