Larangan guna Waze jejas industri logistik?

Larangan guna Waze jejas industri logistik?

PENGHARAMAN Waze tidak semestinya melumpuhkan industri logistik kerana pelbagai sistem navigasi dan pengurusan armada masih tersedia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CADANGAN kerajaan untuk mengharamkan sepenuhnya aplikasi navigasi Waze di Malaysia bukan sekadar isu penggunaan teknologi, sebaliknya mempunyai implikasi besar terhadap kelancaran industri logistik negara.

Dalam sektor yang bergantung kepada ketepatan masa, maklumat trafik dan kecekapan penghantaran, sebarang perubahan terhadap sistem navigasi perlu dinilai secara menyeluruh.

Pada 23 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan tidak menolak kemungkinan pengharaman menyeluruh Waze sekiranya alternatif tempatan mempunyai keupayaan mencukupi. Ketika ini, larangan penggunaannya berkuat kuasa kepada penjawat awam semasa urusan rasmi kerajaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Namun, pengharaman Waze tidak semestinya melumpuhkan industri logistik. Pelbagai sistem navigasi dan pengurusan armada masih tersedia.

Kerajaan telah memperkenalkan aplikasi tempatan TuJu sebagai alternatif. Aplikasi yang dibangunkan untuk Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menyediakan maklumat perjalanan, anggaran masa ketibaan, trafik dan kemudahan lebuh raya. Namun, Perdana Menteri sendiri mengakui aplikasi tersebut masih mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki.

Sistem baharu mesti diuji berdasarkan ketepatan maklumat, kestabilan perkhidmatan, kemudahan penggunaan dan keupayaan memenuhi kehendak industri.

Justeru, cadangan pertama ialah kerajaan melaksanakan pelan peralihan secara berfasa sekiranya pengharaman menyeluruh diputuskan. Tempoh peralihan membolehkan syarikat menilai aplikasi alternatif, melatih pemandu dan menyesuaikan sistem pengurusan penghantaran tanpa gangguan operasi secara mendadak.

Kedua, pembangunan aplikasi navigasi tempatan perlu melibatkan pemain industri logistik secara langsung. Persatuan pengangkutan, pengusaha lori, syarikat kurier dan penyedia perkhidmatan teknologi wajar dilibatkan dalam proses pengujian sebelum pelaksanaan berskala besar.

Ketiga, aplikasi tempatan perlu mempunyai fungsi khusus untuk kenderaan perdagangan. Laluan lori tidak boleh disamakan dengan laluan kereta persendirian kerana terdapat sekatan ketinggian, had berat, jalan sempit dan kawasan larangan kenderaan berat.

Keempat, kerajaan boleh membangunkan platform perkongsian data trafik nasional yang menggabungkan maklumat daripada pihak berkuasa lebuh raya, agensi pengangkutan dan pengendali logistik. Data yang dikawal selia dengan baik boleh meningkatkan ketepatan navigasi tanpa mengabaikan perlindungan maklumat pengguna.

Kelima, insentif digitalisasi perlu dipertimbangkan untuk membantu syarikat logistik kecil mengguna pakai sistem pengoptimuman laluan dan pengurusan armada. Langkah ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada satu aplikasi navigasi.

Kerajaan wajar menetapkan petunjuk prestasi yang jelas sebelum melaksanakan pengharaman menyeluruh. Antaranya ketepatan anggaran masa ketibaan, liputan jalan raya, keberkesanan pengesanan kesesakan dan tahap keselamatan data.

Malaysia mempunyai peluang membangunkan ekosistem navigasi sendiri. Namun, kejayaannya bukan ditentukan oleh berapa cepat Waze diharamkan tetapi sejauh mana sistem pengganti mampu memastikan barangan terus bergerak, perniagaan terus beroperasi dan kos logistik kekal terkawal.-UTUSAN

DR. IRAWAN IBRAHIM dan DR. ABDUL KHABIR RAHMAT
Institut Pengangkutan Malaysia (MITRANS),
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Selangor

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini