PETALING JAYA: Yang Dipertuan Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul meluahkan rasa kecewa terhadap Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) dalam sesi sidang Dewan Rakyat hari ini.
Johari berkata demikian selepas Takiyuddin mendedahkan secara terbuka permintaan untuk mengadakan mediasi, tanpa memberinya masa untuk memberikan maklum balas.
Beliau berkata, Takiyuddin yang telah menghantar surat kepadanya pada Khamis lalu, memaklumkan keengganan untuk menarik balik kenyataan berkenaan serta mencadangkan mediasi antaranya, Rayer dan Takiyuddin sendiri.
“Saya berasa agak kecewa dengan perkara ini. Apabila beliau menulis surat kepada saya, beliau sepatutnya memberi saya peluang untuk menjawab terlebih dahulu, sama ada bersetuju atau tidak dengan cadangannya.
“Sebaliknya, beliau mendedahkannya kepada umum menerusi satu laporan portal berita sehingga meletakkan saya dalam keadaan agak sukar apabila terpaksa memberikan maklum balas,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Isu berkenaan pada mulanya dibangkitkan oleh Rayer di bawah Peraturan Mesyuarat 36(4), yang melarang Ahli Parlimen menggunakan bahasa yang menyinggung perasaan atau tidak wajar di dalam Dewan.
Rayer dalam sesi sidang Dewan Rakyat minggu lalu memberitahu bahawa beliau mahu Takiyuddin dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berikutan keengganannya menarik balik perkataan ‘munafik’ meskipun telah diarahkan berbuat demikian oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Mengulas arahan terdahulu supaya Takiyuddin menarik balik kenyataannya, Johari berkata, Ahli Parlimen Kota Bharu itu telah memetik hadis yang menyentuh tiga tanda orang munafik.
Walaupun hadis itu sendiri tidak merujuk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Johari berkata, Takiyuddin segera mengaitkan kandungannya dengan ucapan Belanjawan 2027 Perdana Menteri, khususnya perkataan Arab, wa’ad yang bermaksud janji.
Beliau berkata, konteks kenyataan tersebut memberi gambaran bahawa rujukan kepada sifat munafik itu ditujukan kepada Anwar.
“Apabila kita melihat keseluruhan perbualan itu, jelas kelihatan bahawa ia merujuk kepada Perdana Menteri, walaupun hadis itu sendiri tidak berbuat demikian,” katanya.
Dalam pada itu, Johari telah meminta Rayer supaya mengemukakan permohonan rasmi secara bertulis untuk merujuk Takiyuddin kepada jawatankuasa berkenaan.
Beliau berkata jawatankuasa yang dianggotai wakil daripada kedua-dua belah pihak politik itu akan mempertimbangkan perkara tersebut.
“Keputusan bukan di tangan saya. Ia akan dibuat oleh jawatankuasa yang ahlinya terdiri daripada kedua-dua belah pihak.
“Sebaik sahaja jawatankuasa membuat keputusan, saya hanya akan mengumumkannya. Jangan menyalahkan atau mengkritik saya secara terbuka kerana keputusan itu adalah keputusan jawatankuasa,” katanya. – UTUSAN











