Logo bukan keramat, rakyat penentu mandat

Logo bukan keramat, rakyat penentu mandat

ABDUL KHALIB ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGGANTUNGAN keahlian selama dua penggal daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak memadamkan suara Ahli Parlimen Rompin, DATUK ABDUL KHALIB ABDULLAH, dalam gelanggang politik negara.

Sebaliknya, baginya tindakan itu menyerlahkan pergolakan dalaman yang kian menguji kekuatan parti.

Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, serta dibantu jurufoto, FAUZI BAHARUDIN, beliau menyentuh realiti politik yang tidak lagi bergantung pada lambang parti, sebaliknya menuntut pemimpin membuktikan khidmat kepada rakyat.

Memuatkan artikel berkaitan…

Abdul Khalib mengingatkan politik bersifat dinamik, manakala keputusan yang dibuat tanpa mendengar suara akar umbi boleh mengundang kesan besar terhadap masa depan perjuangan.


Pandangan Datuk tentang perjuangan Bersatu hari ini?

Jujur agak tidak selesa apabila parti berhasrat untuk menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Parti perlu ingat, ketika Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong bertitah membentuk kerajaan perpaduan, mereka tidak bersetuju. Namun, selepas empat tahun, mereka mahu jalin kerjasama dengan gabungan itu.

Ketika itu, tiada perbincangan dibuat untuk tidak terlibat dalam pembentukkan kerajaan perpaduan. Sebagai pemimpin, pandangan pihak yang dipimpin perlu diambil kira. Saya tidak tahu secara terperinci tetapi keputusan itu mungkin tidak disenangi sesetengah pihak.

Sekarang, mereka menyatakan sokongan kepada PH. Namun, saya tidak boleh membuat sebarang kenyataan atau memberikan komen lanjut mengenai perkara itu memandangkan status masih digantung.

Saya tertanya-tanya, jika perkara itu boleh dilakukan sekarang, mengapa tidak sejak dahulu? Kita sudah berdepan pertelingkahan selama empat tahun.

Ketika itu, Agong tidak meminta keputusan dibuat serta-merta. Sebagai pemimpin, mereka boleh memohon tempoh untuk berfikir dan mengemukakan cadangan kepada Tuanku, namun, peluang itu tidak digunakan.

Saya tidak tahu apa yang ada dalam fikiran mereka. Namun, keputusan yang dibuat ketika itu lebih dipengaruhi emosi berbanding pertimbangan terhadap kepentingan yang lebih besar.

 

Beberapa penganalisis politik berpendapat masalah Bersatu boleh diselesaikan sekiranya Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan, sejauh mana kebenaran itu dan siapa pengganti yang sesuai?

Itu hak mereka untuk komen kerana mereka melihat bagaimana perjalanan, kekuatan dan kelemahan Bersatu. Rakyat pun boleh menilai dengan bijak tetapi sebagai presiden, perlu mengutamakan parti. Kita ada banyak calon antaranya, Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin. Beliau boleh diangkat menerajui parti.

 

Bagaimana hubungan Datuk dengan pemimpin Bersatu?

Masih baik. Saya baik dengan Radzi sebab kami di ruang lingkup Parlimen. Begitu juga ahli Parlimen Langkawi, Datuk Mohd. Suhaimi Abdullah dan Ahli Parlimen Merbok, Mohd. Nazri Abu Hassan . Kami minum bersama di kafe. Hubungan kami tiada masalah. Cuma tidak berbincang soal politik sebab tiada keperluan untuk bercakap soal itu.

 

Sejauh manakah kedudukan Bersatu ketika ini dalam mendapatkan sokongan rakyat?

Saya rasa Bersatu memang sudah berada dalam keadaan yang sukar. Walaupun begitu, mereka masih belum mengambil langkah yang sewajarnya.

Dalam situasi hari ini, agak sukar untuk Bersatu menggunakan logo sendiri untuk mendapat sokongan.

Logo itu jenama. Apa sahaja jenama yang digunakan, orang akan mengenalinya jika namanya sudah kukuh. Contohnya, sos cili dengan jenama yang kuat kalau tiada di pasar raya, orang tetap akan cari dan minta keluarkan dari stor tetapi jika jenama itu tidak kuat, pengguna akan mencari pilihan lain.

 

Hati Datuk masih dengan Bersatu atau sudah ada ‘rumah’ baharu dalam rancangan?

Kita tunggu dulu Parlimen bubar, baru saya boleh nyatakan ke mana mahu pergi.

 

Datuk dilihat lebih cenderung menyokong Datuk Seri Hamzah Zainuddin, boleh komen tentang Parti Wawasan Negara (Wawasan)? Mampukah parti ini memberi harapan baharu kepada bekas ahli Bersatu?

Saya lihat apa yang dibawa Hamzah mempunyai hala tuju jelas. Wawasan bukanlah parti yang mahu memecahbelahkan, sebaliknya membawa sesuatu yang lebih baik daripada apa yang ada pada hari ini.

Hamzah beberapa kali menyatakan hasrat membawa kelainan menerusi Wawasan termasuk sebagai jambatan kepada penyatuan Melayu.

Jika dikatakan Wawasan berteraskan Melayu, itu mungkin boleh diterima kerana sebahagian besar keahliannya terdiri daripada orang Melayu. Bagaimanapun, parti itu tetap mengutamakan kaum lain.

Saya suka cara Hamzah membuat keputusan. Sebelum membuat keputusan, beliau akan mendapatkan pandangan kita. Banyak perkara yang dibincangkan terlebih dahulu. Saya rasa beliau mungkin sudah mempunyai keputusan sendiri tetapi masih mahu mendengar pandangan orang lain. Itulah ciri seorang pemimpin, mereka perlu mengambil kira pandangan orang lain dan bukan membuat keputusan secara bersendirian.

Sementara Muhyiddin ketika membuat keputusan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi PN atas keputusan sendiri.

 

Tapi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pula cakap tidak mahu jambatan antara UMNO dan Pas?

Bila orang politik cakap, kadang-kadang kita perlu faham seninya.

Kita perlu faham ketika Perhimpunan Agung UMNO (PAU), kenyataan yang dibuat di hadapan berbeza dengan nada yang dibawa di luar. Ada perbezaan pendirian antara apa yang disebut secara terbuka dengan apa yang berlaku selepas itu.

Ketika ini, tidak kira sama ada seseorang itu daripada UMNO, Pas atau mana-mana parti sekalipun, apa yang penting ialah penyatuan. Saya melihat sudah sampai masanya usaha penyatuan ini dilaksanakan, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara ketika ini.

Sekarang ini, bagaimana kita mahu menarik pelabur jika keadaan politik tidak stabil? Malah, ada pelabur yang mengambil keputusan tarik semula pelaburan.

Dalam sejarah negara, belum pernah berlaku seseorang yang memegang jawatan wakil rakyat daripada parti kerajaan boleh meletakkan jawatan. Apabila Timbalan Presiden PKR meletakkan jawatan, ia memberi kesan kepada negara dan rakyat. Lihat sahaja dari segi pelaburan, mana ada masuk.

Apabila wakil rakyat kerajaan sendiri menyerang kerajaan, pasti ada sesuatu yang tidak kena. Akhirnya, kita dapat lihat rakyat menjadi mangsa. Sebab itu, kita mahukan penyatuan ummah ini dilaksanakan segera. Kita tidak mahu rakyat terus menjadi mangsa akibat politik negara yang tidak stabil.

 

Sejauh mana penyatuan ini boleh mengubah corak politik dan pentadbiran negara kerana setiap parti pastinya memiliki agenda sendiri?

Boleh kalau masing-masing buang ego supaya setiap pihak tahu tanggungjawab masing-masing.

Kita tidak boleh membawa semua orang dalam satu kapal kerana akan menjadikannya masalah. Kita perlu pilih untuk membawa masuk mereka yang hanya memiliki hala tuju sama.

 

Komen mengenai kedudukan pembangkang selepas gabungan itu seperti terbahagi kepada dua pasukan?

Kita ada 69 orang pemangkang sekarang ni, bukan jumlah yang kecil Ini bukan soal pasukan tetapi siapa pemainnya.

Macam juga bola sepak, akan ada musim-musim pemindahan, begitu juga politik. Christiano Ronaldo pun main untuk banyak pasukan. Tak perlu bimbang tentang PN. Ini lumrah politik dan apa jua keputusan, pastinya masing-masing memiliki pelan sandaran untuk tentukan hala tuju politik parti.

 

Itu hal bola sepak tetapi dalam politik logo memainkan peranan yang besar sebab itu ada perebutan dalam penggunaan logo PN, komen?

Perkara paling penting ialah kita berkhidmat untuk rakyat. Keadaannya tidak lagi seperti dahulu. Dulu, orang cenderung memilih parti atau logo. Sekarang, rakyat mahu melihat individu yang bertanding, sama ada mereka benar-benar bekerja atau sebaliknya. Jika tidak menjalankan tugas dengan baik, parti mana pun tidak menjamin kemenangan.

Dulu, ketika UMNO dan Barisan Nasional (BN) bertanding, mereka boleh dikatakan pasti menang. Namun, keadaan hari ini berbeza. Ini menunjukkan rakyat tidak lagi menilai berdasarkan logo parti semata-mata.

Sebab itu, kita perlu melihat kepada gabungan politik.

Dalam keadaan sekarang, sesebuah parti perlu mempunyai gabungan. Ini kerana sesebuah parti itu mungkin nampak dominan tetapi tidak boleh bergerak bersendirian. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini