DAP gesa percepat pindaan Akta Pengangkutan Jalan

DAP gesa percepat pindaan Akta Pengangkutan Jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan diminta menyegerakan pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi membolehkan mahkamah mengarahkan pembayaran pampasan kepada mangsa atau waris bagi kes kemalangan jalan raya yang menyebabkan kematian atau kecederaan parah.

Desakan itu dibuat menerusi kenyataan bersama 13 pemimpin dan ahli akar umbi DAP susulan kematian seorang pekerja kontraktor Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dilanggar sebuah kenderaan di Lebuhraya Sultan Iskandar pada 24 Oktober lalu, dipercayai dipandu individu di bawah pengaruh alkohol.

Pengerusi DAP Cawangan Pusat Bandar Shah Alam, Nor Miswary Ramli bersama 12 pemimpin dan ahli akar umbi parti itu turut meminta supaya pindaan berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat seawal sidang pertama Parlimen pada 2027.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut kenyataan itu, pindaan berkenaan perlu disegerakan bagi memastikan mangsa dan keluarga memperoleh pembelaan sewajarnya, selain menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat kejadian tersebut secara menyeluruh.

Mereka turut meminta pihak berkuasa meneliti sama ada fakta dan keterangan kes berkenaan memenuhi elemen kesalahan membunuh di bawah Seksyen 300 Kanun Keseksaan yang boleh membawa kepada pertuduhan mengikut Seksyen 302, bergantung pada bukti dan keputusan pihak pendakwaan.

Selain itu, mereka berpandangan langkah pencegahan awal dan pemantauan di tempat awam perlu dipertingkatkan secara berkadar bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.

Mereka juga mencadangkan supaya undang-undang berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol diperketat, termasuk dengan mengkaji pengalaman Singapura berdasarkan kesesuaian dengan konteks perundangan Malaysia.

“Dalam jangka panjang, pendekatan whole-of-government (pendekatan menyeluruh kerajaan) perlu dilaksanakan menerusi kerjasama Kementerian Pengangkutan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, PDRM, Jabatan Pengangkutan Jalan serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Usaha ini perlu meliputi penguatkuasaan bersasar, pendidikan awam, tanggungjawab pengendali premis dan penyediaan pengangkutan alternatif bagi individu selepas mengambil alkohol,” menurut kenyataan itu.

Mereka berkata, punca kejadian seumpama itu perlu dikenal pasti dan ditangani segera demi menjamin keselamatan pengguna jalan raya serta memastikan keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini