Kerjasama politik demi penyatuan atau kuasa?

Kerjasama politik demi penyatuan atau kuasa?

KERJASAMA politik menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) perlu berasaskan prinsip yang jelas, bukan sekadar pembahagian kerusi dan kepentingan parti.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM politik, musuh hari ini boleh menjadi rakan esok, manakala sekutu yang pernah berjuang bersama boleh membawa haluan berbeza apabila kepentingan mula bercanggah.

Perubahan seperti ini normal dalam padang politik negara.

Pengalaman Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) masih segar untuk dijadikan pengajaran. Daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi, Perikatan Nasional (PN) memperoleh 73, manakala Barisan Nasional (BN) hanya meraih 30 kerusi.

Memuatkan artikel berkaitan…

Tiada gabungan mencapai majoriti mudah sebanyak 112 kerusi. Akhirnya, parti yang bertahun-tahun bersaing dan saling mengkritik terpaksa duduk semeja untuk membentuk kerajaan demi kestabilan negara.

Keadaan itu mengubah perkiraan politik negara. BN yang pernah mendominasi pentadbiran Persekutuan selama beberapa dekad perlu bekerjasama dengan PH, bekas pesaing utamanya.

Pada masa sama, PN yang muncul sebagai pencabar utama kerajaan turut berdepan keperluan menyusun semula hubungannya dengan parti-parti yang membentuk gabungan tersebut.

Pengalaman itu mengajar kita selama empat tahun ini yang kemenangan pilihan raya dan pembentukan kerajaan merupakan dua perkara berbeza. Maksudnya, parti mungkin boleh memperoleh banyak kerusi tetapi masih gagal membentuk kerajaan sementara parti dengan kemenangan jumlah kerusi lebih kecil memainkan peranan penting apabila kedudukannya diperlukan dalam rundingan.

Sebab itulah, menjelang PRU16, percaturan kerjasama tidak boleh hanya bergantung pada keyakinan terhadap kekuatan sendiri.

Bahkan, semua parti mengakui dinamika politik hari ini jauh berbeza dengan tiada mana-mana parti boleh mentadbir negara sendirian tanpa kerjasama rentas politik.

Bagi UMNO dan BN, kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan berdepan cabaran apabila bukan sahaja perlu mempertahankan keputusan menyertai kerajaan bersama PH, malah meyakinkan penyokong yang kerjasama tersebut masih memberi ruang untuk memperjuangkan agenda parti.

Perkara ini bukan mudah, terutama apabila sebahagian penyokong masih mengingati persaingan sengit kedua-dua pihak sebelum PRU15.

PH juga tidak terlepas daripada berdepan situasi serupa apabila kerjasama dengan BN menuntut kebijaksanaan mengurus perbezaan tanpa mengabaikan janji reformasi dan komitmen terhadap tadbir urus yang baik.

Perbezaan seperti ini menjadi ‘makmal’ ujian sebenar sesebuah gabungan. Kerjasama dinilai dalam keupayaan melaksanakan dasar, menyelesaikan pertikaian dan memberikan hasil yang dapat dirasai rakyat.

Tanpa perkara tersebut, kestabilan hanya menjadi hujah yang diulang-ulang untuk mempertahankan perkongsian kuasa.

Bagi parti yang sedang menimbang langkah menjelang PRU16, keadaan ini menuntut pertimbangan lebih teliti.

Sudah terbukti, kerjasama yang menguntungkan barisan kepimpinan belum tentu diterima oleh semua penyokong. Begitu juga, keputusan untuk bergerak sendiri mungkin memelihara identiti parti tetapi boleh mengehadkan ruang membentuk kerajaan jika kekuatan kerusinya tidak mencukupi.
BN contohnya, akhirnya memilih suara akar umbi apabila bekerjasama dengan PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan Melaka.

Sementara Menteri Besar Selangor merangkap Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari, mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Selangor semakin hampir memeterai satu persefahaman atau Perjanjian Kepercayaan dan Pembekalan (CSA) dengan kerajaan negeri menjelang pembentangan belanjawan.

 

SEJARAH LALU

Hubungan UMNO dengan Pas memberi gambaran jelas tentang betapa sukarnya mengekalkan persefahaman politik.

Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai pada 14 September 2019 pernah mencetuskan harapan besar dalam kalangan penyokong kedua-dua parti. Selepas kekalahan BN dalam PRU14, kerjasama itu dilihat sebagai ruang untuk mengurangkan pertembungan dan menghimpunkan sokongan Melayu-Islam.

Namun, persefahaman tersebut tidak bertahan sehingga PRU15 sebagai pakatan pilihan raya bersama. Ia ekoran perbezaan kepentingan dan percaturan politik mengatasi harapan yang dibina ketika kerjasama itu mula diperkenalkan.

Pengalaman tersebut sewajarnya menjadi peringatan yang persamaan dalam isu tertentu tidak semestinya membawa kesepakatan dalam semua perkara.

Pada Jun lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan partinya tidak berhasrat menghidupkan semula MN dalam bentuk asal mahupun versi baharu. Dalam masa sama, ruang rundingan politik dengan pihak lain masih terbuka.

Pas pula, hubungannya dengan Bersatu turut melalui perubahan selepas pengumuman penamatan kerjasama politik juga pada Jun, lalu.

Situasi tersebut membuka pelbagai kemungkinan tetapi tidak bermakna jalan menuju persefahaman baharu sudah tersedia. Ini kerana rundingan tetap memerlukan persetujuan tentang kepimpinan, pembahagian kerusi dan hala tuju selepas pilihan raya.

Dalam keadaan ini, ungkapan penyatuan tidak boleh berdiri sendiri. Parti yang benar-benar mahu bekerjasama perlu berterus terang mengenai perkara yang memisahkan mereka, bukannya hanya menonjolkan persamaan untuk mendapatkan perhatian penyokong.

Masalah yang tidak diselesaikan sebelum pilihan raya berkemungkinan muncul semula apabila kuasa dan kedudukan mula dipertaruhkan.

 

KERUSI BOLEH DIBAHAGI, PRINSIP TIDAK BOLEH DIPERDAGANGKAN

Rundingan pembahagian kerusi hampir pasti menjadi antara perkara yang paling rumit. Setiap parti mempunyai kawasan yang dianggap sebagai kubu kuat, calon yang mahu diketengahkan serta pemimpin yang perlu diberikan ruang. Namun, tuntutan tersebut tidak semestinya sepadan dengan kehendak pengundi atau kekuatan sebenar jentera di lapangan.

Kerusi yang pernah dimenangi bukan hak kekal sesebuah parti. Perubahan sokongan, prestasi wakil rakyat dan penerimaan calon perlu diambil kira sebelum sesuatu kawasan diputuskan.

Jika rundingan hanya berpandukan kedudukan pemimpin atau sejarah kemenangan, maka persefahaman yang terbentuk mungkin gagal mencerminkan keadaan sebenar di kawasan berkenaan.

Pertembungan sesama rakan yang berpotensi bekerjasama juga boleh memecahkan undi dan melemahkan peluang masing-masing.

Mengelakkan pertandingan tiga penjuru tidak bermakna semua pihak perlu menerima apa sahaja tuntutan demi mencapai kesepakatan. Rundingan yang sihat memerlukan sikap memberi dan menerima, disertai alasan yang munasabah serta penghormatan terhadap kepentingan bersama.

Lebih penting, perjanjian pembahagian kerusi perlu disertai persetujuan mengenai dasar.

Rakyat tidak sepatutnya hanya mengetahui siapa bertanding di kawasan mereka, sedangkan perkara yang lebih dekat dengan kehidupan harian seperti peluang pekerjaan, gaji, perumahan dan mutu perkhidmatan awam tidak diberikan penjelasan yang mencukupi.

Perbincangan mengenai kerjasama Melayu-Islam juga perlu mengambil kira hakikat Malaysia ialah negara berbilang kaum dan agama. Kepentingan Melayu dan Islam boleh terus diperjuangkan tetapi agenda pemerintahan tidak boleh terbatas kepada kelompok itu sahaja.

Masyarakat Cina, India, etnik di Sabah dan Sarawak serta golongan lain turut berhak melihat bagaimana kerjasama politik bakal memberi kesan kepada kehidupan mereka.

Usaha memperkukuh kedudukan ekonomi Melayu, misalnya, boleh bergerak seiring dengan peluasan peluang pekerjaan, peningkatan mutu pendidikan dan pengagihan pembangunan yang lebih seimbang.

Begitu juga, pemeliharaan hak yang dijamin Perlembagaan Persekutuan perlu berjalan bersama tanggungjawab untuk memastikan setiap rakyat mendapat akses yang adil kepada peluang ekonomi dan perkhidmatan awam.

Pendekatan yang hanya menekankan identiti tanpa menerangkan penyelesaian kepada masalah rakyat akan mengecilkan ruang kerjasama. Sebaliknya, agenda yang jelas membolehkan parti mempertahankan prinsip masing-masing sambil mencari titik temu dalam perkara yang menyentuh kepentingan bersama.

Dalam hal ini, parti-parti yang sedang menyusun langkah menuju PRU16 perlu menentukan sama ada kerjasama yang ditawarkan benar-benar berasaskan kesepakatan atau sekadar keperluan menghadapi lawan.

Pengundi sudah melihat bagaimana musuh politik boleh menjadi rakan dalam kerajaan dan bagaimana persefahaman yang pernah dibina boleh berakhir apabila kepentingan mula bertembung. Pengalaman itu menjadikan janji kerjasama sahaja tidak lagi memadai, sebaliknya yang dituntut ialah pendirian yang jelas, dasar yang boleh dinilai dan kesediaan memikul tanggungjawab terhadap keputusan dibuat.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Penolong Pengarang Berita Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini