Jangan malu berbahasa Melayu, jadi anak Malaysia

Jangan malu berbahasa Melayu, jadi anak Malaysia

KEMAJUAN menuntut keterbukaan tanpa rasa malu terhadap bahasa, budaya dan jati diri sendiri.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SESEBUAH masyarakat boleh hilang keyakinan apabila perlu menyembunyikan bahasa pertuturab, adat dan sejarah.

Antonio Gramsci melalui gagasan hegemoni menjelaskan bagaimana kekuasaan dapat bertahan apabila masyarakat menerima kewibawaan kelompok dominan sebagai sesuatu yang lumrah.

Pengaruh ini tidak semestinya hadir melalui paksaan. Ia turut terbentuk apabila ukuran dan nilai tertentu diterima tanpa dipersoalkan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Keadaan ini membantu menjelaskan bagaimana rasa rendah diri terhadap budaya sendiri boleh tumbuh. Apabila bahasa asing sering dikaitkan dengan kecerdasan dan kemajuan, sedangkan bahasa sendiri dianggap ketinggalan, maka penilaian tersebut akhirnya meresap ke dalam fikiran.

Seseorang mungkin mula meragui warisannya sendiri tanpa menyedari bagaimana tanggapan itu terbentuk.

Syed Hussein Alatas membincangkan persoalan serupa dalam The Myth of the Lazy Native (1977). Beliau meneliti bagaimana gambaran negatif terhadap masyarakat Melayu, Jawa dan Filipina digunakan dalam ideologi kapitalisme kolonial untuk membenarkan penguasaan serta amalan tidak adil dalam pengerahan tenaga kerja.

Gambaran yang kelihatan seperti penilaian terhadap sikap masyarakat sebenarnya turut mempertahankan kepentingan penjajah.

Apabila gambaran sedemikian diterima sebagai kebenaran, maka ukuran kemajuan boleh berubah. Masyarakat tidak lagi sekadar mahu memperbaiki kelemahan, sebaliknya mula menganggap kejayaan bergantung pada sejauh mana mereka menyerupai pihak lain.

Namun, mempertahankan kebudayaan tidak bermaksud menerima segala-galanya tanpa penilaian.

Kritikan membina mengenal pasti masalah, mengemukakan bukti dan mencari jalan pembaikan. Penghinaan terhadap kebudayaan pula menjadikan asal usul sebagai kecacatan, seolah-olah seluruh masyarakat tidak layak dihormati hanya kerana kelemahan tertentu.

Kita boleh menolak ketidakadilan atas nama adat tanpa membuang kebijaksanaan yang terkandung dalam tradisi. Sejarah juga boleh diperbetulkan tanpa menganggap seluruh masa lalu sebagai kesilapan.

Bahasa menjadi antara medan paling penting dalam persoalan ini. Ngũgĩ wa Thiong’o menerusi Decolonising the Mind (1986) menghubungkan bahasa dengan kebudayaan, sejarah dan identiti. Bahasa bukan sekadar alat menyampaikan maklumat, malah membentuk cara masyarakat memahami pengalaman serta kedudukannya di dunia.

Kata seperti budi, amanah dan muafakat membawa pengalaman sosial serta pertimbangan moral yang tersendiri. Maknanya boleh diterjemahkan tetapi kedalaman konteksnya memerlukan penjelasan. Bahasa lain juga memiliki khazanah pemikiran yang wajar dipelajari.

Oleh itu, penguasaan bahasa asing harus dilihat sebagai kelebihan yang membuka akses kepada ilmu dan pengalaman baharu. Masalah timbul apabila kemahiran tersebut dijadikan ukuran darjat manusia.

Kefasihan berbahasa asing tidak semestinya membuktikan keluasan pemikiran.

Di Malaysia, kita wajar menilai sama ada sesuatu hujah diberikan perhatian berdasarkan kekuatan alasannya atau bahasa yang digunakan. Sesuatu gagasan tidak sepatutnya dianggap lebih berwibawa hanya kerana menggunakan istilah asing. Ukuran sebenar perlu berpaksikan ketepatan fakta, kedalaman pemikiran dan kejujuran dalam menilai bukti.

Pada masa sama, bahasa kebangsaan perlu terus diperkaya melalui penggunaannya dalam penyelidikan, sains, undang-undang, falsafah dan teknologi. –UTUSAN

PROFESOR MADYA DR. SHAHRUL MIZAN ISMAIL
Fakulti Undang-Undang,
Universiti Kebangsaan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini