SEREMBAN: Seorang penghantar notis Majlis Bandaraya Seremban (MBS) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima suapan RM1,800 sebagai dorongan supaya tiada tindakan diambil terhadap kerja pengubahsuaian rumah tanpa kelulusan, dua tahun lalu.
Tertuduh, T. Selvakumar, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara rasuah menerima wang RM1,800 melalui akaun Maybank miliknya daripada seorang lelaki pada 18 Jun 2024.
Suapan itu didakwa sebagai dorongan supaya MBS tidak mengganggu atau mengambil tindakan terhadap kerja pengubahsuaian rumah milik lelaki berkenaan di Taman Mutiara Galla, Jalan Labu, di sini, yang dilakukan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan itu.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan bank di Seremban.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Syairah Aqilah Khalil menawarkan jaminan RM15,000 dengan satu syarat tambahan.
Bagaimanapun, peguam M. Siveram yang mewakili tertuduh memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan berikutan tanggungan keluarga anak guamnya.
Beliau berkata, tertuduh menanggung isteri dan seorang anak saudara berusia 11 tahun yang masih bersekolah.
Katanya, tertuduh memperoleh pendapatan RM2,900 sebulan sebagai penghantar notis selain memberikan kerjasama sepanjang siasatan sejak 2024.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga.
Mahkamah turut menetapkan syarat supaya tertuduh melaporkan diri di Pejabat SPRM Seremban setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 23 November ini. – UTUSAN











