KEDAI yang sentiasa dipenuhi pelanggan belum tentu mencatat keuntungan besar. Bengkel yang tidak putus menerima tempahan juga belum tentu mempunyai wang tunai mencukupi pada hujung bulan.
Di sebalik kesibukan itu, ada sewa premis, bil utiliti, bahan mentah, bayaran pembekal dan ansuran peralatan yang perlu dilunaskan. Pada masa sama, pekerja memerlukan gaji untuk membayar sewa rumah, membeli barang dapur dan menyara keluarga. Pengusaha mahu perniagaan terus bertahan, manakala pekerja mengharapkan pendapatan yang mencukupi untuk kehidupan lebih selesa.
Kedua-duanya mempunyai keperluan yang saling berkait. Perbincangan mengenai gaji tidak seharusnya tertumpu pada jumlah yang patut dibayar semata-mata. Keupayaan majikan menawarkan pendapatan lebih baik turut bergantung pada kemampuan perniagaan mengurus kos, meningkatkan produktiviti dan memperoleh keuntungan.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menyumbang hampir separuh daripada jumlah guna tenaga negara pada 2025. Oleh itu, keupayaan sektor ini menyediakan pekerjaan dengan pendapatan lebih baik penting dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat.
Antara langkah yang boleh diambil ialah memperkemas operasi, mengurangkan pembaziran, memperluas pasaran dan meningkatkan kemahiran pekerja. Perubahan ini membantu perniagaan menggunakan masa, tenaga dan sumber dengan lebih berkesan.
Contohnya, perusahaan makanan yang menerima pesanan melalui telefon dan media sosial mungkin berdepan masalah apabila semua tempahan direkodkan secara manual. Pesanan boleh tercicir, stok sukar dipantau dan penghantaran tertangguh. Sistem tempahan lebih teratur serta rekod stok yang mudah dirujuk dapat mengurangkan kesilapan dan melancarkan urusan harian.
Namun, penyelesaian tidak semestinya memerlukan teknologi mahal. Ada perusahaan yang hanya perlu menyusun semula ruang kerja, jadual operasi atau rekod kewangan. Pengusaha perlu mengenal pasti masalah sebenar sebelum membuat pelaburan supaya kos baharu tidak menambah beban.
Latihan pekerja juga perlu bersesuaian dengan tugas. Kemahiran mengurus stok, melayan pelanggan atau melakukan diagnosis kerosakan boleh mengurangkan kesilapan dan meningkatkan mutu perkhidmatan. Universiti pula boleh membantu melalui perkongsian kepakaran dalam pengurusan operasi, pemasaran, kewangan dan sumber manusia.
Selain operasi yang cekap, perusahaan perlu mencari pasaran yang menawarkan pulangan setimpal. Penambahbaikan pembungkusan, pensijilan dan pemasaran boleh membuka peluang kepada pelanggan baharu, termasuk syarikat besar dan pasaran eksport. Namun, pertambahan jualan perlu dinilai bersama kos tambahan dan keuntungan sebenar.
Aliran tunai juga tidak boleh diabaikan. Perniagaan yang mencatat jualan tinggi masih boleh menghadapi kesukaran membayar gaji jika pelanggan lewat menjelaskan bayaran. Pembayaran mengikut tempoh yang dipersetujui membantu pengusaha merancang perbelanjaan dan mengelakkan gaji tertangguh.
Untung bertambah, pekerja perlu merasainya. Peningkatan produktiviti tidak semestinya membawa kenaikan gaji secara automatik. Pengusaha perlu mempertimbangkan semakan gaji berkala, kemajuan kerjaya berdasarkan kemahiran dan ganjaran yang sesuai dengan prestasi serta kedudukan kewangan. Program PROSHARE oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia turut memberi perhatian kepada hubungan antara produktiviti dengan pampasan pekerja.
Gaji yang munasabah juga membantu mengekalkan pekerja berpengalaman, sekali gus mengurangkan kos pengambilan dan latihan tenaga kerja baharu.
Perniagaan yang kukuh bukan sahaja mampu menjana keuntungan, malah memberi ruang kepada pekerja menikmati gaji lebih baik. Apabila kedua-duanya berkembang seiring, manfaatnya dapat dirasai oleh keluarga dan ekonomi negara.
DR. ZURINA SAMSUDIN
Pensyarah Perniagaan,
Sekolah Perniagaan,
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)











