Lima kapal persiaran antarabangsa akan singgah di Pulau Pinang

Lima kapal persiaran antarabangsa akan singgah di Pulau Pinang

PULAU Pinang bakal menerima lima kunjungan kapal persiaran antarabangsa antara Oktober hingga Disember ini. - GAMBAR/SPPP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pulau Pinang bakal menerima kunjungan sulung lima kapal persiaran antarabangsa dengan kapasiti keseluruhan 11,012 penumpang di Terminal Kapal Persiaran Swettenham Pier di sini, antara Oktober hingga Disember ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin berkata, lima kapal berkenaan adalah Navigator of the Seas, Villa Vie Odyssey, Adora Mediterranea, Star Seeker dan Celebrity Solstice.

Beliau berkata, kapal Navigator of the Seas dijadual tiba paling awal iaitu pada 30 Oktober ini, kira-kira 2.30 petang dan ketibaan kapal itu menandakan industri pelayaran negeri ini kini memasuki fasa pertumbuhan baharu yang mampu merancakkan pasaran pelancongan hujung tahun.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kunjungan kapal persiaran tersebut berpotensi meningkatkan perbelanjaan pelancong antarabangsa serta memberi manfaat kepada pelbagai sektor ekonomi tempatan termasuk makanan dan minuman, peruncitan, pengangkutan serta perkhidmatan pelancongan.

“Dalam hal ini, Pulau Pinang mempunyai kekuatan tersendiri menerusi warisan budaya masyarakat berbilang kaum, sejarah yang kaya, makanan yang terkenal di peringkat antarabangsa serta keunikan kehidupan masyarakat yang hidup harmoni sejak beberapa generasi,” katanya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketibaan kapal persiaran itu juga secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi persinggahan penting dalam laluan pelayaran antarabangsa selain menjadi pintu masuk pelancong asing untuk mengenali Malaysia dan kepelbagaian budaya di Asia.

Pada masa yang sama, katanya, kerjasama Kementerian Pengangkutan serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam membangunkan pelabuhan, mempromosikan pelancongan serta memberi pengalaman kepada pengunjung turut membantu mewujudkan persekitaran lebih kondusif bagi perkembangan industri pelayaran negeri.

Sementara itu, Soon Hin yang juga Timbalan Pengerusi Tourism Malaysia berkata, Tourism Malaysia turut memperluaskan skop program geran padanan berkaitan tahun ini dengan merangkumi sektor pelayaran bagi membantu pemain industri menarik pelancong melalui laluan laut dan mengembangkan pasaran berkenaan.

“Dalam hal ini, nilai jangka panjang industri pelayaran bukan sekadar jumlah kapal yang berlabuh, sebaliknya, bergantung kepada keupayaan untuk menjadikan setiap kunjungan sebagai pengalaman bermakna yang mendorong pelancong kembali ke Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini