Isu Jalur Gemilang: Permohonan representasi gugur pertuduhan Akmal ditolak - Utusan Malaysia

Isu Jalur Gemilang: Permohonan representasi gugur pertuduhan Akmal ditolak

MUHAMAD Akmal Saleh (tengah) bersama ahli keluarga serta penyokongnya ketika tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk mendengar keputusan representasi susulan kenyataan kontroversinya berhubung isu Jalur Gemilang sebelum ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM : Permohonan representasi yang dikemukakan oleh peguam kepada Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh untuk menggugurkan pertuduhan terhadap beliau susulan kenyataan kontroversinya berhubung isu Jalur Gemilang sebelum ini telah ditolak oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang.

Wakil peguam beliau, Aizat Azam berkata, susulan penolakan representasi pertama yang ditulis pada Disember 2025 itu, pihaknya akan mengemukakan representasi kedua kepada Peguam Negara selepas ini.

Menurut Aizat, ketika ini, pihaknya juga sudah mendapat ‘lampu hijau’ daripada anak guam mereka iaitu Muhamad Akmal sendiri untuk mengemukakan representasi berikutnya bagi menyampaikan fakta, pandangan serta pendapat berdasarkan undang-undang berhubung kes terbabit.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Untuk pengetahuan, kes ini telah berlangsung selama lebih setahun, namun, masih belum ada tarikh perbicaraan yang telah ditetapkan. Sebaliknya, sehingga hari ini, kita masih dalam proses untuk mendapatkan keputusan representasi sahaja.

“Ini bermaksud bahawa, sama ada kes ini boleh meneruskan untuk perbicaraan ataupun tidak, kita pun masih lagi menunggu keputusan daripada pihak Peguam Negara,” katanya ketika ditemui di pekarangan Komplek Mahkamah Bukit Mertajam di sini.

Jelas Aizat, pihaknya turut memfailkan permohonan semakan kehakiman terhadap Peguam Negara berhubung bidang kuasa beliau dalam menjalankan pendakwaan terhadap anak guamnya.

Katanya, pengurusan kes berkaitan semakan kehakiman itu dijadual berlangsung esok di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang secara dalam talian.

Terdahulu, mahkamah menetapkan 4 Januari depan sebagai tarikh untuk menentukan keputusan representasi kedua seperti yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

Kes diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Pulau Pinang, Muna Mohamed Jaafar di hadapan Majistret Roshayati Radellah manakala Muhamad Akmal pula diwakili oleh barisan 10 peguam yang diketuai oleh Aizat.

Ogos tahun lepas, Muhamad Akmal mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah yang sama di sini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan kontroversi berhubung isu Jalur Gemilang.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengeluarkan kenyataan berkenaan dalam laman sosial miliknya yang mana ia dilihat menimbulkan kegentaran awam apabila mendorong mana-mana orang supaya melakukan kesalahan terhadap ketenteraman awam pada pukul 3 petang, 11 Ogos 2025.

Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini