Perlis komited pelihara kawasan hutan simpan, warta 12,083 hektar HSK - Utusan Malaysia

Perlis komited pelihara kawasan hutan simpan, warta 12,083 hektar HSK

ROSLAN Rani pada Majlis Perasmian Penutup The Northernmost İnternational Bird Race Wang Kelian 2026 di Wang Kelian, Perlis hari ini.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Perlis memperkukuh usaha pemuliharaan hutan dengan mewartakan kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) seluas 12,083 hektar meliputi kira-kira 14 peratus daripada keluasan negeri ini bagi tempoh sehingga 31 Disember tahun lalu.

Jumlah direkodkan itu menunjukkan peningkatan keluasan kawasan HSK di negeri ini sebanyak 1,468 hektar berbanding sebelum ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Perancangan) Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Roslan Rani berkata, antara kawasan baharu diwartakan itu adalah di Bukit Anak Gajah di Padang Besar.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Jabatan Perhutan Perlis yang berjaya meningkatkan keluasan kawasan hutan simpan kekal dan ia sekali gus menunjukkan bahawa Perlis cukup komited dalam memulihara kawasan hutan simpan berkenaan.

“Angka-angka berkenaan bukan sekadar pencapaian statistik, sebaliknya mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam mengimbangi keperluan pembangunan negara dengan tanggungjawab memelihara kelestarian hutan dan biodiversiti,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup The Northernmost İnternational Bird Race Wang Kelian 2026 di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Kesihatan, Keusahawanan dan Koperasi serta Alam Sekitar negeri, Megat Hashirat Hassan yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Ag Shaffie Ag Ahmadni.

Roslan berkata, meskipun Perlis sebuah negeri yang kecil namun menyumbangkan peratusan tinggi dalam komitmen bagi mengekalkan kawasan hutan di Semanjung Malaysia.

“Kita harap perkembangan tersebut dapat memberi gambaran bahawa keluasan hutan kita untuk masa depan masih kekal untuk dinikmati generasi akan datang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kawasan Wang Kelian secara khususnya dilihat berpotensi menyumbang dalam aspek ekonomi membabitkan sektor eko pelancongan.

Katanya, dalam masa sama, terdapat juga pelbagai spesies burung menarik dapat ditemukan di kawasan berkenaan.

“Jadi usaha-usaha dilaksanakan oleh Jabatan Perhutanan negeri memajukan kawasan-kawasan ekopelancongan merupakan perkara baik kerana negeri tersebut berhampiran sempadan yang boleh dimanfaatkan bagi menarik pelancong dari negara jiran,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini