Penjawat awam perlu bersatu bawa perubahan

Penjawat awam perlu bersatu bawa perubahan

SEMUA generasi perlu bersatu padu dan terbuka menerima perubahan agar dapat melahirkan generasi yang saling melengkapi dalam perkhidmatan awam pada masa hadapan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARI ini, perkhidmatan awam sedang mengalami reformasi dan evolusi yang menyaksikan pertembungan serta pertautan beberapa generasi bermula daripada Baby Boomers, Generasi X, Millenials hinggalah Generasi Z yang menghuni ruang lingkup perkhidmatan awam.

Perkhidmatan awam tidak lagi dipelopori oleh satu generasi dengan pengalaman, cara berfikir dan aspirasi yang hampir seragam. Setiap generasi membawa pengalaman, sejarah, nilai, teknologi dan cara bekerja yang berbeza.

Persoalannya bukan siapa yang lebih baik. Persoalan yang jauh lebih besar adalah bagaimanakah kita menggabungkan kekuatan setiap generasi untuk membentuk modal insan perkhidmatan awam yang lebih tangkas, berintegriti, berkemahiran dan bersedia menghadapi masa hadapan?

Memuatkan artikel berkaitan…

Cabaran utama dalam perkhidmatan awam kini sudah pasti bertumpu pada kemampuan dalam mengintegrasikan perbezaan dan kekuatan dalam diri setiap generasi. Kemampuan ini seharusnya dimiliki dalam usaha membentuk modal insan perkhidmatan awam yang berkualiti pada masa akan datang.

Berdasarkan Indeks Blavatnik yang diberikan oleh Universiti Oxford, Malaysia kini berada pada kedudukan ke-40 dalam Indeks Perkhidmatan Awam Antarabangsapada tahun 2025.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyasarkan Malaysia mampu mencapai kedudukan 15 teratas dalam Indeks Perkhidmatan Awam Antarabangsa, seiring dengan negara maju seperti Korea Selatan.

Menyedari hasrat untuk merealisasikan sasaran tersebut, perkhidmatan awam perlu melaksanakan reformasi serta bergerak seiring dengan kemajuan teknologi dan integrasi generasi agar pembangunan kompetensi serta bakat dalam kalangan penjawat awam dapat ditingkatkan.

Seorang penjawat awam masa hadapan bukan sekadar perlu mengetahui peraturan, tetapi juga memahami sebab polisi serta dasar itu diwujudkan.

Mereka bukan hanya mampu mengurus fail malah berkeupayaan mengurus data, menganalisis masalah dan seterusnya menawarkan penyelesaian yang lebih komprehensif.

Rakyat mahu melihat hasil. Mereka mahu perkhidmatan awam yang cepat, mudah, telus dan mesra pengguna. Mereka mahu kerajaan memahami keperluan mereka sebagaimana mereka diminta untuk memahami prosedur kerajaan.

Maka itu, modal insan perkhidmatan awam masa hadapan perlu dibentuk dengan mentaliti pencipta nilai awam.

Modal insan perkhidmatan awam masa hadapan telah di bina asasnya melalui generasi terdahulu yang membina perkhidmatan awam dengan tapak yang kukuh menerusi penerapan elemen disiplin, hierarki, kepatuhan kepada peraturan, kesetiaan kepada organisasi serta pemahaman mendalam terhadap institusi dan tatakelola.

Walau bagaimanapun, generasi sekarang tidak lagi menerima arahan semata-mata sebaliknya mereka sering berfikir dan mempersoalkan kewajaran sesuatu arahan yang diberikan.

Itulah situasi yang dihadapi dalam perkhidmatan awam pada masa kini dan penjawat awam perlu beradaptasi selaras dengan evolusi yang dihadapi.

Realitinya dalam sesebuah organisasi, teknologi boleh diganti dan sistem boleh dinaik taraf. Namun begitu, perkara asas yang menentukan sesebuah institusi itu mampu untuk terus kekal relevan atau sekadar menjadi saksi kepada perubahan ialah modal insannya.

Dasawarsa ini, Generasi Z pula memasuki perkhidmatan awam dengan satu perspektif yang berbeza. Mereka membesar dalam dunia digital dan terbiasa dengan maklumat segera, komunikasi tanpa sempadan serta teknologi yang berubah hampir setiap hari.

Mereka akan melaksanakan arahan mengikut pertimbangan, berdasarkan justifikasi pelaksanaan arahan tersebut.

Hakikatnya, pembangunan modal insan dalam perkhidmatan awam tidak lagi dibentuk atau dibayangi oleh acuan lama.

Dalam konteks ini, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) tidak ketinggalan dalam melaksanakan pembaharuan dari aspek latihan bagi membentuk pegawai-pegawai muda kerajaan yang berprestasi tinggi.

Bukan itu sahaja, bentuk latihan juga perlu ditambah baik agar sesuai dan seiring dengan perkembangan generasi dan teknologi. Hal ini perlu diambil kira kerana generasi muda sudah pasti memiliki kelebihan dari segi teknologi disebabkan mereka membesar dalam kemajuan teknologi terkini.

Dalam pada itu, pembaharuan yang dilaksanakan turut tidak terkecuali daripada menerima cabaran apabila melibatkan pertembungan pelbagai generasi.

Terdapat kelompok yang memandang pembaharuan ini sebagai satu bentuk masalah dan kelemahan.

Sebagai contoh, generasi lama mungkin melihat generasi baharu sebagai kurang sabar dan kurang berdaya tahan, manakala generasi baharu pula beranggapan generasi lama tidak bersedia mengikuti perkembangan teknologi.

Apa-apa pun, penyelesaian terbaik bagi menangani isu ialah penerapan elemen keserasian dan kesefahaman dalam kalangan setiap generasi bagi memastikan setiap generasi tidak bersaing untuk menjatuhkan sesama sendiri sebaliknya bekerjasama mencipta legasi yang mempunyai pelbagai kepakaran yang saling melengkapi sesebuah pasukan.

INTAN sebagai institusi latihan perkhidmatan awam menyahut seruan kerajaan untuk mendepani evolusi ini dengan memastikan pengalaman itu tidak hilang apabila sesuatu generasi bersara dan inovasi pula tidak terhenti kerana terlalu terikat atau dibayangi oleh sejarah dan acuan lama.

Semua generasi perlu bersatu padu dan terbuka menerima perubahan agar dapat melahirkan generasi yang saling melengkapi dalam perkhidmatan awam pada masa hadapan.

Bak kata pepatah, “Tiada lama, tiada yang baharu”. Generasi terdahulu memberikan akar, manakala generasi hari ini mengembangkan cabangnya, seterusnya generasi masa hadapan akan mencambahkan daun dan buahnya.

Oleh itu, tugas kita ialah untuk memastikan pokok itu terus tumbuh malar segar, teguh akarnya, luas kanopinya dan cukup rendang untuk menaungi rakyat yang menuntut penyampaian khidmat bakti terbaik dari sektor perkhidmatan awam.

Membina modal insan bukan sekadar menyediakan manusia untuk masa hadapan, tetapi juga merupakan usaha membentuk masa hadapan melalui manusia. – UTUSAN

KHAIRIL Azwan Abu Mansor ialah Ketua Unit Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (UDPA), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

MOHD. Nor Fitri Affendi Mustafa ialah Penolong Pengarah Kanan, Seksyen Penyelarasan Kadet, Unit Diploma Pascasiswazah Pengurusan Awam (UDPA), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini