AS, Iran di ambang perang baharu

AS, Iran di ambang perang baharu

PELURU berpandu Zolfaghar buatan Iran dipamerkan di Dataran Azadi, Teheran.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Persiapan Amerika Syarikat (AS) untuk melancarkan serangan baharu terhadap Iran membayangkan kemungkinan gelombang konflik lebih buruk di Teluk, ketika kebuntuan diplomatik terus membayangi usaha menamatkan perang.

Middle East Eye (MEE) melaporkan, diplomat AS sedang membuat persiapan bagi pemindahan kakitangan kedutaan, manakala jet pejuang Israel menjalankan penerbangan operasi berhampiran sempadan Iran.

Beberapa pegawai Arab dan AS di rantau itu berpandangan serangan baharu terhadap Iran hanya menunggu masa untuk berlaku.

Memuatkan artikel berkaitan…

Petunjuk peningkatan ketegangan turut muncul apabila Komander Pasukan Darat Tentera Iran, Brigadier Jeneral Jahanshahi, mengarahkan semua komander unit mengekalkan tahap kesiapsiagaan tempur tertinggi.

Menurut agensi berita Tasnim kelmarin, Jahanshahi memberi amaran  sebarang kecuaian ketika perang boleh membawa akibat serius, selain menggesa komander memperkukuh keupayaan tempur melalui perancangan rapi dan pemantauan berterusan.

Pada masa sama, Iran memberi amaran akan membalas sebarang serangan dengan menyasarkan pusat data dan kemudahan kecerdasan buatan (AI) yang mempunyai kaitan dengan AS di rantau Teluk, selain infrastruktur tenaga dan lapangan terbang.

Ancaman itu menimbulkan kebimbangan sebarang pertempuran baharu boleh merebak melangkaui sasaran ketenteraan dan mengancam kepentingan ekonomi serantau, termasuk kemudahan tenaga serta infrastruktur digital yang bernilai trilion dolar.

Presiden AS, Donald Trump, turut tidak menolak kemungkinan melancarkan satu lagi operasi ketenteraan terhadap Iran ketika perang itu menghampiri bulan kelapan.

“Kita mungkin melancarkan satu lagi operasi kecil Epic Fury,” katanya dalam ucapan di Florida kelmarin.

Pertempuran secara langsung antara AS dan Iran sebahagian besarnya terhenti selepas kedua-dua pihak mencapai gencatan senjata rapuh pada April lalu.

Namun, ancaman serangan baharu, peningkatan kesiapsiagaan tentera Iran dan kegagalan mencapai kemajuan diplomatik mengekalkan risiko konflik kembali tercetus, dengan kemungkinan kesan lebih luas terhadap keselamatan rantau Teluk serta perdagangan tenaga global.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini