MELAKA: Kerajaan melancarkan Pelan Tindakan Sara Hidup Negara 2030 (NCLAP30) yang menggariskan 35 strategi dan 429 ikhtiar bagi menangani tekanan kos sara hidup rakyat secara menyeluruh dalam tempoh lima tahun akan datang.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pelan itu menjadi kerangka tindakan kebangsaan untuk memandu pengurusan kos sara hidup secara bersepadu sekali gus meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat.
Menurut beliau, NCLAP30 menggunakan pendekatan whole-of-nation yang menuntut kerjasama kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.
Katanya, strategi dan ikhtiar sara hidup itu merangkumi penerusan serta penambahbaikan inisiatif sedia ada selain pengenalan program baharu yang dilaksanakan merentasi pelbagai kementerian dan agensi termasuk melalui kerjasama rakan strategik.
“Visi pelan ini adalah untuk meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat manakala misinya memberi tumpuan kepada dua keutamaan utama, iaitu meningkatkan pendapatan sara hidup rakyat dan menstabilkan harga barangan serta perkhidmatan asas,” katanya.
Armizan berkata demikian semasa sidang akhbar selepas majlis Program Sentuhan Kasih Madani dan Peluncuran Pelan Tindakan Sara Hidup Negara (NCLAP30) yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pekarangan Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini
Beliau berkata, pelan itu merangkumi lapan kluster strategik, iaitu pendapatan, makanan, kesihatan, pendidikan, pengangkutan, perumahan, utiliti dan umum bagi memastikan isu kos sara hidup ditangani secara menyeluruh, meliputi pelbagai keperluan asas rakyat.
Menurutnya, pendekatan berkenaan penting kerana tekanan kos sara hidup bukan sahaja berkaitan harga barangan makanan malah turut melibatkan perbelanjaan untuk tempat tinggal, pengangkutan, pendidikan, kesihatan dan utiliti yang mempengaruhi kewangan isi rumah.
Beliau berkata, NCLAP30 dibangunkan sejajar dengan hala tuju Kerangka Ekonomi Madani dan menjadi antara strategi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Katanya, pelan itu juga merupakan dokumen dinamik yang akan sentiasa ditambah baik melalui pengukuhan strategi dan pengenalan program baharu dari semasa ke semasa, mengikut perubahan keadaan sosioekonomi, keperluan rakyat serta cabaran domestik dan global.
“Pendekatan ini memastikan pelan kekal relevan dan responsif terhadap perubahan keadaan sosioekonomi, keperluan rakyat serta cabaran yang mempengaruhi kos sara hidup,” katanya.
Bagi memastikan pelaksanaan NCLAP30 lebih menyeluruh dan bersepadu, Armizan berkata, Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) Bilangan 2/2026 pada 29 September lalu juga memutuskan supaya peranan NACCOL diperkasakan.
Katanya, langkah itu merangkumi tanggungjawab memantau dan meneliti pelaksanaan semua program serta inisiatif berkaitan kos sara hidup yang dilaksanakan oleh pelbagai kementerian dan agensi bagi memastikan pencapaian hasil yang optimum. – UTUSAN











