Hasrat Allahyarham Mohammad Syazwan derma organ tercapai

Hasrat Allahyarham Mohammad Syazwan derma organ tercapai

NURUL Syafiqah Mahadi menunjukkan gambar Allahyarham Mohammad Syazwan Mahadi yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 21, Jalan Seremban-Kuala Pilah, semalam, ketika ditemui di Masjid Tuanku Muhriz, Bandar Seri Jempol, semalam..-UTUSAN / NOR SHAFIQAH MOHD GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JEMPOL: “Aku tak sabarlah, nanti aku nak jadi macam ini juga.”. Itu luahan Allahyarham Mohammad Syazwan Mahadi, 28, kepada keluarganya ketika menunjukkan video berkaitan pendermaan organ, sebelum maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 21, Jalan Seremban-Kuala Pilah, di sini, kelmarin.

Kakaknya, Nurul Sya­fiqah Mahadi, 32, berkata, keluar­ga hanya mengetahui Mohamad Syazwan berdaftar sebagai penderma organ selepas dimaklumkan pegawai per­ubatan di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN), Kuala Pilah, semalam.

Keluarga turut dimaklumkan mata, jantung dan tulang kaki serta ta­ngan adiknya itu didermakan bagi membantu pesakit memerlukan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami tahu arwah aktif menderma darah, tetapi dia tidak pernah beritahu secara terus, cuma, pernah tunjuk video orang menderma organ.

“Dia kata, ‘Tengok ini, lampu hospital ini kalau menyala warna hijau, tandanya ada orang sudah derma organ. Aku tak sabarlah, nanti aku nak jadi macam ini juga.’ Alhamdulillah, tercapai hajat dia,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Masjid Tuanku Muhriz, Bandar Seri Jempol, di sini, semalam.

Nurul Syafiqah berkata, keluarga bangga dengan usaha murni adiknya membantu orang lain menerusi pen­dermaan organ.

Katanya, adiknya seorang penyayang dan sentiasa meng­utamakan keluarga, khususnya ibu mereka, Saerah Haji Karin, 55.

“Dia akan hantar makanan kepada mak dan berpesan supaya jangan lupa makan. Memang hari-hari dia suka masak. Kalau ada majlis pula, dia tidak pernah lokek tenaga untuk membantu di dapur,” katanya.

Ketika kejadian, adiknya dalam perjalanan pulang selepas menghadiri temu duga kerja dan beberapa kali mengingatkan ibu, dia tidak dapat menghantar makanan pada waktu Zuhur hari itu.

“Mak jawab, ‘Mak okaylah, mak boleh makan telur dadar sahaja.’ Dia berulang kali mengingatkan mak, dia tiada pada waktu itu. Kami tak jangkakan dia pergi,” katanya.

Allahyarham yang pernah berkhidmat sebagai imam dan bilal di Masjid Tuanku Muhriz, Bandar Seri Jempol, tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum kejadian, malah sempat menggunting rambut sebagai persediaan menghadiri temu duga kerja pada hari berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, siasatan awal mendapati kemalangan pukul 2.06 petang itu dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa memasuki laluan kereta sebelum bertembung.

Penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi manakala pemandu kereta berusia 56 tahun tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini