Pertanian tampung jana pendapatan keluarga - Utusan Malaysia

Pertanian tampung jana pendapatan keluarga

MUHAMMAD Rozi dan Haslina Md. Jalil menunjukkan hasil tanaman terung mereka di kebun seluas 0.4 hektar di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, Pahang -UTUSAN/ HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN harga komoditi sawit telah meningkat sejak awal tahun ini, generasi kedua Felda tidak terlalu mengharapkan pendapatan ibu bapa mereka yang turut menanggung bayaran kembali hutang Felda dan perbelanjaan lain.

Senario kehidupan warga Felda khususnya generasi kedua masih tidak berubah khususnya tekanan pendapatan apabila ancaman pandemik Covid-19 di peringkat global dan negara sejak tahun lalu menyaksikan mereka hilang pendapatan dan pekerjaan.

Malahan golongan itu yang ada berhijrah ke tempat lain sebagai pekerja di sektor swasta dan peniaga termasuk yang tinggal di tempat sendiri mula terhimpit. Ini ekoran penularan wabak Covid-19 yang terus memberi impak perbelanjaan keperluan dapur, persekolahan anak dan kebajikan lain.

Memuatkan artikel berkaitan…

Asbab berdepan tekanan kesusahan perbelanjaan dalam tempuh penguatkuasaan Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga ini mendorong pasangan suami isteri generasi kedua Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, Muhammad Rozi Ismail, 41, dan Haslina Md. Jalil, 40, mengusahakan tanaman terung (Solanum melongena).

Kesungguhan ingin mengubah cara hidup disertai semangat berkobar-kobar ingin bebas daripada tekanan sukar memperoleh pendapatan mendorong pasangan itu mengusahakan tanaman terung di kawasan seluas 0.4 hektar milik Felda di situ. Alhamdulillah kini ia terbukti berhasil.

Muhammad Rozi mengakui pada peringkat awal timbul keraguan adakah usaha yang dirintis akan berjaya khususnya pasaran hasil tanaman itu, tetapi dapat dikikis apatah lagi kerap diberi galakan dan nasihat oleh isterinya.

“Saya memulakan tanaman ini pada Oktober tahun lalu dengan mengeluarkan sedikit simpanan sebagai modal membeli peralatan kebun, baja dan biji benih. Saya menyemai sendiri 1,700 pokok di batas tanah dengan bantuan isteri dan anak.

“Penjagaan tanaman ini agak mudah dengan hanya menggunakan baja organik yang beli daripada pembekal di Felda ini, manakala peralatan pengairan pokok saya buat sendiri bagi mengurangkan perbelanjaan,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, Pahang.

MUHAMMAD ROZI ISMAIL

Menurutnya, tugas menjaga tanaman seperti membaja dan mengairi pokok serta kawalan ancaman serangga dilakukan dengan teliti serta berjadual setiap hari dengan bantuan ahli keluarga.

“Hampir 10 minggu atau perkiraan saya selama 70 hari ditanam, sebanyak 1,700 batang pokok ini mengeluarkan hasil terung yang matang dan boleh dipetik. Hasil pertama yang kami peroleh seberat kira-kira 1,000 kilogram (kg), manakala hasilnya sehingga ini sudah melebihi 5,000 kg,” katanya.

Muhammad Rozi berkata, kejayaan itu mendorong dia dan isteri memeta perancangan untuk menanam cili kecil, pisang dan menternak kambing kerana permintaan tempatan yang memberangsangkan.

Sementara itu, Haslina berkata, pada awalnya dia juga bimbang hasil tanaman itu tidak ada pasaran tetapi sebaliknya jangkaan itu meleset apabila sayuran berkenaan (terung) mendapat banyak permintaan daripada masyarakat setempat.

“Ramai yang singgah di kebun membeli terung yang kami jual dengan harga RM6 sekilogram pada waktu pagi dan petang secara ‘pandu dan lalu’. Kami juga menguruskan jualan secara COD memenuhi permintaan pelanggan sekitar Felda ini.

“Sehingga bulan ini, anggaran seberat antara 1,000 hingga 2,000 kg terung dipasarkan setiap minggu bagi memenuhi permintaan pembeli dan pemborong di pasar raya Bandar Pusat Jengka dan kawasan Felda berdekatan,” katanya.

Ibu kepada lima orang anak berusia antara 21 hingga 5 tahun menambah, pendapatan hasil tanaman itu cukup bagi menampung keperluan dapur, persekolahan dan simpanan sebagai modal bagi tanaman lain dalam masa terdekat.

Katanya, ancaman pandemik Covid-19 menjadikan dia dan suami memupuk semangat dan menumpukan usaha memastikan dapur rumah mereka berasap selain mencari pendapatan membiayai persekolahan anak-anak.

“Saya berharap generasi baharu Felda turut sama bangkit memulakan usaha dalam bidang pertanian.

“Pertanian adalah perniagaan. Tanamlah benih apa pun di kawasan tanah yang subur pasti akan mencongak pendapatan yang lumayan,” ujarnya.

Komersialkan tanaman belimbing, herba

Orang lama di Felda itu iaitu ibu bapa generasi kedua yang menganggotai Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda Kota Gelanggi Dua juga mengambil inisiatif menanam pokok belimbing, sayuran dan herba untuk tujuan komersial.

Tanaman 100 pokok belimbing buluh (Averrhoa belimbi linn) atau belimbing asam dimulakan pada 2016 adalah hasil usaha seramai 20 ahli GPW yang juga ketua blok penerokawati nyata berbaloi. Kini ia jadi sumber pendapatan kekal.

 

SITI ZABEDAH Sudin (dua dari kiri) dan sebahagian ahli Gabungan Persatuan Wanita (GPW) menunjukkan asam hitam belimbing untuk dipasarkan di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut, Pahang.

Pengerusi GPW Felda Kota Gelanggi Dua, Siti Zabedah Sudin, 67, berkata, dalam tempoh tiga tahun pokok belimbing mula berbuah dan tidak menyangka buahnya begitu lebat. Ia mula dipungut pada awal 2019.

“Memang sasaran kami menanam belimbing buluh untuk membuat asam hitam secara komersial bagi menambah dana tabung persatuan ini menerusi pasaran produk sendiri.

“Malahan, kita juga tidak menduga ancaman pandemik Covid-19 awal 2020 menyebabkan kesusahan penduduk. Sementelahan pula peneroka di sini berdepan kejatuhan harga sawit waktu itu.

“Jadi projek tanaman belimbing antara penyumbang pendapatan ahli persatuan ini,” katanya di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut.

Menurut Siti Zabedah, ahli GPW walaupun berstatus warga emas tidak patah semangat apabila berdepan ancaman Covid-19 ditambah pula pematuhan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyebabkan penduduk tidak dapat keluar bekerja.

“Buah belimbing yang banyak menguatkan lagi semangat kami seramai enam orang pengusaha GPW terus memasak asam hitam di premis yang disediakan oleh pengurusan Felda.

“Sejak dua tahun lalu asam hitam pengeluaran GPW dipasarkan ke bandar Jerantut, Bandar Pusat, Kolej Komuniti Jerantut dan sekitar kawasan Gugusan Felda Kota Gelanggi menerusi COD termasuk menghantar ke kedai runcit dan wakil penjual di tempat lain,” katanya.

Sebahagian ahli Gabungan Persatuan Wanita (GPW) membersihkan buah belimbing sebelum dimasak untuk dijadikan asam hitam di Felda Kota Gelanggi Dua, Jerantut.

Katanya, sepanjang Jun lalu, ahli GPW sudah menghasilkan kira-kira 500 bungkusan masing-masing seberat satu kilogram yang dijual pada harga RM15.

“Setiap bekas yang dijual, pengurusan GPW membayar upah RM5 kepada pekerja dalam kalangan ahli yang kebanyakannya warga emas dan ibu tunggal. Selebihnya untuk tabung kewangan persatuan ini,” katanya.

Siti Zabedah berkata, mereka juga menanam sayur-sayuran dan herba seperti kunyit, lengkuas, serai di kawasan berdekatan pejabat Felda yang dikenali sebagai projek edible garden untuk tujuan komersial.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini