PETALING JAYA: Seramai 120 pemain menyertai kejohanan golf sulung Hard Rock Hotel Desaru Coast yang mempertandingkan format 18 lubang secara beregu.
Kejohanan itu turut menguji kemahiran pemain menerusi tiga cabaran sampingan iaitu Nearest to the Pin, Longest Drivedan Bullseye yang menilai ketepatan serta jarak pukulan pemain.
Pengurus Besar Hard Rock Hotel Desaru Coast merangkap Naib Presiden Kawasan, Operasi Hotel Asia, Hard Rock International, Murray Aitken berkata, sambutan terhadap penganjuran sulung itu menunjukkan acara berkenaan berpotensi diteruskan sebagai pertandingan tahunan.
“Bagi penganjuran sulung, perkara penting bagi kami ialah sama ada kami berjaya mewujudkan sebuah acara yang membuatkan orang ramai mahu menyertainya lagi.
“Sambutan terhadap kejohanan golf ini menunjukkan bahawa kami berjaya melakukannya,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurutnya, kemudahan golf dan pengalaman percutian di Desaru Coast memberi peluang untuk mengembangkan kejohanan itu sebagai acara tahunan yang turut menyokong usaha membantu komuniti.
Dalam pada itu, kejohanan berkenaan berjaya mengumpulkan RM15,000 untuk Breast Cancer Support Group Johor Bahru menerusi kempen kesedaran kanser payudara tahunan PINKTOBER.
“Kejayaan mengumpulkan RM15,000 untuk penerima sumbangan menjadikan acara ini amat bermakna kepada jenama kami dan menjadi asas kukuh untuk penganjuran pada 2027,” katanya. – UTUSAN











