Rosyam Nor cadang drama OTT jalani proses penapisan - Utusan Malaysia

Rosyam Nor cadang drama OTT jalani proses penapisan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI BULOH: Pelakon dan penerbit, Datuk Rosyam Nor, mencadangkan kerajaan mewajibkan semua drama yang ditayangkan menerusi platform penstriman atau over-the-top (OTT) menjalani proses penapisan bagi memastikan kandungannya tidak keterlaluan.

Rosyam atau Mohamed Noor Shamsuddin, 59, berkata langkah itu perlu dipertimbangkan susulan kecenderungan segelintir pengkarya menghasilkan kandungan yang melampaui batas atas alasan kebebasan berkarya.

“Ada juga drama kita yang kadang-kadang berlebih-lebihan, kononnya atas nama berkarya. Kita kena sedar, drama dan filem Malaysia ada tahapnya sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Aksi yang disajikan kepada penonton tidak bolehlah terlalu menonjol. Saya harap selepas ini drama di platform OTT juga perlu melalui proses penapisan yang ketat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Rosyam berkata terdapat perbezaan ketara dari segi kawal selia kandungan antara media tradisional dengan platform penstriman.

Menurutnya, filem dan drama televisyen perlu melalui proses penapisan, termasuk oleh Lembaga Penapis Filem (LPF), sedangkan kandungan yang disiarkan menerusi platform OTT didakwa tidak tertakluk kepada kawalan setara.

“Macam filem, kita ada proses penapisan daripada LPF, drama televisyen pun ada penapisan. Tetapi kandungan yang masuk ke OTT ada penapisan? Tak ada.

“Jadi, bagi saya, untuk menyelamatkan keadaan dan mengelakkan timbulnya isu tuduh-menuduh apabila gejala sosial berlaku, drama OTT juga wajib melalui penapisan. Barulah adil untuk semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, Rosyam melahirkan kebimbangan terhadap pengaruh kandungan dari negara jiran yang memaparkan aksi intim, termasuk ciuman bibir dan adegan berpelukan, sehingga dikhuatiri mempengaruhi pengkarya serta pelakon tempatan.

Rosyam turut mengingatkan pengarah, pelakon dan seluruh pasukan produksi supaya menggalas tanggungjawab moral dalam setiap karya yang dihasilkan dengan mengambil kira nilai budaya dan agama masyarakat tempatan.

“Saya faham, kita tengok negara jiran sudah ada aksi lip-to-lip (ciuman bibir) dan peluk-peluk. Ini memberi pengaruh kepada pengkarya dan pelakon kita.

“Namun, seorang pelakon, pengarah dan pasukan produksi mempunyai tanggungjawab masing-masing. Kita kena ikut budaya dan agama kita, tidak boleh melampaui batas.

“Kerajaan perlu bertindak segera demi memastikan keharmonian nilai masyarakat kita terjaga,” katanya.

Terdahulu, isu pengaruh drama dan filem tempatan terhadap gejala sosial kembali menjadi perbincangan hangat di media sosial apabila karya tempatan didakwa menjadi antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan masalah berkenaan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini