Anak-anak akan baca - Nadia Aqilah enggan layan komen negatif - Utusan Malaysia

Anak-anak akan baca – Nadia Aqilah enggan layan komen negatif

Screenshot
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Nadia Aqilah merasakan dia tidak perlu membalas komen negatif mengenainya yang ditulis netizen di media sosial.

Pernah terguris dengan komen berkenaan, pelakon berusia 41 tahun itu mengambil pendekatan untuk berdiam diri dan membiarkan komen-komen tersebut berlalu begitu sahaja.

“Saya tak pernah beri maklum balas komen negatif. Lebih selesa untuk berdiam sahaja.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Memanglah komen negatif mengguris perasaan, adakalanya saya sudah menaip untuk membalas kecaman netizen, tetapi akhirnya mengambil pendekatan untuk tidak berbuat demikian.

“Untuk apa? Kalau saya balas komen negatif, 10 tahun akan datang, anak-anak saya akan membaca apa yang ditulis apabila mereka sudah dewasa.

“Sebab itu saya tidak melayan komen negatif walaupun diri merasa geram dengan kecaman yang ditujukan kepada kita,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Nadia berkata demikian semasa sesi bersama media bagi mempromosikan pementasan Puteri Gunung Ledang The Muzikal di Enfinity Academy, Damansara, semalam.

Dalam masa yang sama, pelakon itu yang menjayakan watak Bayan dalam pementasan berkenaan memaklumkan dirinya tidak mampu mengawal netizen untuk melontarkan pandangan di media sosial.

“Reaksi netizen, sama ada baik atau buruk, saya tak mampu nak kawal. Kalau baik, Alhamdulillah. Tapi kalau sebaliknya, saya reda.

“Dulu, komen negatif ini membuatkan saya murung. Sampaikan saya nasihatkan sahabat saya, Mimi Fly untuk tidak membaca komen netizen di media sosial.

“Bayangkan, satu komen negatif mampu menjadikan semangat kita luntur. Padahal komen itu cuma secebis kecaman,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nadia atau nama penuhnya Nadia Aqilah Bajuri memaklumkan penggunaan media sosial lebih-lebih lagi Thread yang tertumpu kepada kerja-kerja dilakukan termasuk mempromosikan PGL yang bermula 31 Oktober hingga 15 November ini.

“Saya pengguna pasif, saya ambil tahu juga apa yang berlaku dalam Thread tanpa masuk campur isu di dalamnya. Saya tak mahu kepala saya diserabutkan dengan persekitaran toksik.

“Malah Saya risau dengan pelbagai isu yang diperdebatkan di dalamnya justeru tidak berminat untuk ikut campur.

“Saya pun baharu saja mendaftar akaun Thread beberapa bulan lepas. Itu pun demi mempromosikan kerja-kerja saya, termasuklah pementasan PGL dan sebagainya,” katanya mengakhiri perbualan.

PGL yang bakal dipentaskan di Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC) turut dijayakan Aqasha, Aisha Retno, Mila Mohsin, Mimifly, Luqman Hafidz dan Yusof Hashim.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini