Ghost in The Cell: Hantu pun tidak pilih kasta - Utusan Malaysia

Ghost in The Cell: Hantu pun tidak pilih kasta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA Dimas membuat keputusan untuk menulis kematian misteri pekerja-pekerja hutan di Kalimantan, dia cukup faham tidak ada apa-apa yang berubah jika sebuah artikel bertajuk ‘jumlah hutan gondol lebih banyak, anak presiden ada kaitan’ seperti diinginkan editor.

Mungkin bagi Dimas, paling tidak, artikel itu hanya menimbulkan kemarahan khalayak kemudian masing-masing akan senyap atau disenyapkan. Tidak ada yang berubah.
Satu-satunya cara untuk membuat orang gerun, ketar-ketir hingga membuat isu penebangan hutan haram semakin dicakapkan adalah dengan mengaitkannya dengan unsur misteri seperti kes kematian aneh yang menjadi pembuka kepada Ghost in The Cell.

Dimas selepas pulang dari hutan Kalimantan menjadi saksi pokok-pokok ditebang bersaiz lebih banyak berbanding yang dipersetujui Penertiban Kawasan Hutan. Tapi kematian satu demi satu nyawa pekerja hutan dengan cara penuh ‘estetik’ begitu mencurigakan, namun boleh dianggap sempurna untuk tuntutan media sosial melengkapi segala syarat sebuah pakej tular.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ghost in The Cell mula memberi tumpuan kepada social conditioning mechanism atau mekanisme penghalang yang digunakan nenek moyang menceritakan ‘semangat penghuni hutan’ menyerang orang yang tidak menghormati alam.

Sebenarnya isu hutan digondolkan untuk menanam kelapa sawit sudah lama dibincangkan di Indonesia, namun tahun 2000-an menyaksikan menebangan berkali ganda membuatkan Greenpeace serta NGO alam sekitar lain membuat kempen lebih agresif.

Tapi itulah, gaya kempen ‘kurangkan jejak karbon’ mungkin tidak masuk dalam kepala, sudah masanya kita membawa kembali naratif ala Mastika bagaimana semangat hutan menyerang orang.

Apa lagi ‘makhluk’ ini tahu menyerang mangsanya tanpa mengira adakah anda anak pemerintah, banduan, wartawan, warden penjara. Ia tidak terikat sistem buatan manusia yang berkasta.

Perkara berkaitan penunggu dan penjaga hutan pernah dilaporkan dalam kajian ilmiah. Menerusi temu ramah dalam Journal of Infrastructure, Policy and Development, salah seorang pekerja penebangan hutan di Balikpapan berkata, ketua pasukannya telah melanggar pantang larang iaitu menangkap katak berwarna ungu menyebabkannya jatuh sakit dan koma.

Begitu juga dengan alat penebangan hutan yang berat serba-serbi hilang tanpa jejak seperti terjadi di kawasan Bukit Suharto.

Filem ini juga menunjukkan pesalah juga mempunyai kasta. Orang berpangkat yang dijatuhi hukuman rasuah tinggal di blok dan penjara berbeza, lengkap bilik pendingin hawa ala hotel, boleh pulang ke rumah bila-bila masa sahaja dan dikecualikan daripada sistem penjara.

Sementara pesalah yang lain, tinggal di blok berlainan berhimpit juga saling bersengketa dan berpuak kerana masih mahu menganggap mereka lebih besar daripada orang lain. Namun kehadiran ‘penjaga hutan’ yang mengikuti Dimas ke dalam penjara mengubah segara sistem sedia ada.

Mereka kemudian bersatu setelah menyedari musuh sebenar bukan sesama mereka sebaliknya bekas menteri yang tinggal dalam sel tahanan VIP. Mereka percaya, hantu dan penunggu hutan akan lapar membunuh sesiapa sahaja selagi tidak menemui ‘makanan’ yang membuatnya kenyang.

Joko berjaya melakukan kritik dengan bergaya. Setiap karakter dibina sangat solid, mempunyai pembawakan yang jelas termasuklah dialog-dialog makan dalam menggambarkan betapa lelahnya menjadi warganegara yang dipimpin orang-orang jahil.

Mungkin tidak ada yang benar-benar boleh menyelamatkan kita daripada sistem yang menindas ini melainkan rasa bersatu dan bantuan ‘kuasa lain’ yang tidak pernah memilih bulu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini