SHAH ALAM: Penyanyi, Zaki Yamani mendedahkan ibunya pernah menjadi sasaran peminat yang disifatkan melampaui batas apabila mengirim mesej dan panggilan telefon tanpa henti.
Zaki atau Ahmad Zaki Yamani Jamal Ubaidillah, 20, bagaimanapun tidak mengambil tindakan serius memandangkan individu tersebut mempunyai masalah yang dikategorikan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU)
“Sebenarnya gangguan ini sudah ada sejak dulu lagi. Ada peminat, termasuk dalam kalangan Orang Kurang Upaya (OKU) yang tersalah laku. Saya tidak marah, tetapi perkara ini mengganggu privasi kami.
“Ibu saya sendiri pernah kena kacau, pernah kena telefon dan sebagainya.
“Sebab itu saya tegaskan, keluarga atau adik-beradik perlu pantau penggunaan telefon anak-anak supaya tidak timbul isu salah hantar mesej atau mengganggu orang lain,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bagaimanapun, kongsi penyanyi Aku Ada itu, kemelut membabitkannya bersama peminat tersebut telah pun selesai dengan baik apabila Zaki mengambil inisiatif menghubungi sendiri kakak individu berkaitan.
“Alhamdulillah, sekarang gangguan itu sudah tiada. Kakaknya sudah tolong pantaukan. Saya sebenarnya tidak marah, malah rasa kasihan jika dia (peminat OKU) dikecam netizen.
“Orang luar tidak tahu keadaan sebenar dia, jadi kalau mereka kecam, saya bimbang mereka pula yang dapat dosa. Lebih baik kita cegah dari awal,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, ditanya mengenai statusnya yang kini menjadi kegilaan ramai apalagi selepas memenangi Fresh Rising Star Terhangat Darlie di Anugerah Melodi Terhangat, Zaki secara rendah diri menyatakan dia tidak selesa digelar sebagai ‘popular’.
“Saya tidak selesa gelaran popular, memadailah dianggap sekadar dikenali.
“Popular ini bunyinya macam poyo sangat. Saya bukan seorang yang poyo,” katanya. -UTUSAN











