Navigasi tempatan jangan sekadar tiru Waze

Navigasi tempatan jangan sekadar tiru Waze

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pembangunan aplikasi navigasi tempatan seperti TuJu dan PINTAZ tidak seharusnya meniru Waze semata-mata, sebaliknya perlu dimanfaatkan untuk membina kepakaran tempatan dalam teknologi peta digital dan navigasi.

Bekas Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Shahrim Tamrin berkata, dengan strategi yang tepat, sektor itu berpotensi mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan mampu bersaing di pasaran serantau.

Bagaimanapun, beliau berkata, potensi aplikasi berkenaan perlu dibuktikan melalui prestasi dan keberkesanannya dalam memenuhi keperluan pengguna.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, TuJu dilancarkan pada November 2025 oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) bersama Prosignal Consortium Sdn. Bhd. (PCSB), dengan menawarkan navigasi, maklumat trafik, paparan CCTV lebuh raya dan amaran insiden.

“Namun, peningkatan mendadak jumlah pengguna menyebabkan aplikasi itu mengalami gangguan sehingga LLM dan PCSB memohon maaf serta mengambil langkah pemulihan dan naik taraf.

“Bagi memulihkan keyakinan pengguna, aplikasi itu perlu berfungsi dengan lancar serta mampu menyediakan anggaran masa perjalanan, maklumat trafik dan cadangan laluan alternatif yang tepat,” katanya semalam.

Shahrim berkata, PINTAZ pula menawarkan navigasi percuma, panduan lorong, maklumat tol dan kamera, laporan trafik pengguna serta panduan suara dalam bahasa Melayu dan Inggeris.

Bagaimanapun, beliau berkata, ciri-ciri itu perlu dinilai secara bebas kerana jumlah muat turun dan fungsi yang ditawarkan belum membuktikan keberkesanan aplikasi tersebut dalam penggunaan sebenar.

Beliau berkata, terdapat juga keperluan garis panduan yang jelas dan konsisten bagi memastikan maklumat yang dipaparkan tidak menjejaskan operasi polis.

Menurutnya, pada 2023, polis pernah meminta orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat sekatan jalan di Waze atas faktor keselamatan operasi.

“Aplikasi tempatan boleh menawarkan navigasi khusus untuk penunggang motosikal dan penghantar dengan mengambil kira keadaan jalan, laluan yang dibenarkan serta risiko keselamatan.

“Data kemalangan rasmi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan MIROS pula boleh dimanfaatkan untuk mengenal pasti kawasan kerap berlaku kemalangan, selekoh berbahaya dan zon kerja jalan,” katanya. 

Katanya, cadangan laluan alternatif juga perlu mengambil kira kesesuaian jalan untuk sesuatu jenis kenderaan, keselamatan pengguna serta kesannya terhadap penduduk, termasuk apabila trafik dialihkan ke kawasan perumahan.

“Oleh itu, maklumat parkir, kos tol dan pilihan pengangkutan awam seperti bas, MRT dan LRT perlu digabungkan dalam aplikasi bagi memudahkan pengguna merancang perjalanan.

“Usaha ini memerlukan kerjasama antara agensi kerajaan, operator pengangkutan, pihak berkuasa tempatan dan pakar sistem pengangkutan pintar.

“Tanpa data yang tepat dan dikemas kini, perisian tercanggih sekalipun hanya menjadi hiasan digital ketika pengguna terperangkap dalam kesesakan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini