KUALA LUMPUR: Persidangan Maulid Ke-6 anjuran Majlis Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM), Inspirasi Muhibah Indian Muslim Malaysia (IMIM) dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) telah berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini bertemakan “ Madani Dihayati Ummah Diberkati”.
Program yang turut mendapat kerjasama pelbagai pertubuhan masyarakat itu menghimpunkan ulama, aktivis sosial, golongan usahawan, ibu bapa, belia serta orang ramai dari seluruh negara.
Program itu telah disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabir.
Syed Kamarulzaman dalam ucapan beliau menegaskan sirah dan ajaran Rasulullah SAW sangat relevan dalam mendepani cabaran masyarakat masa kini. Beliau turut menyeru semua pihak agar terus memperkukuh perpaduan, keharmonian dan semangat hidup bermasyarakat.

Sementara itu, Presiden PERMIM, Mohamed Azman Shah berkata, persidangan tersebut memainkan peranan penting dalam memupuk nilai kemanusiaan, perpaduan, tanggungjawab sosial serta pembentukan sahsiah generasi muda.
Menurut beliau, cara hidup yang berasaskan akhlak dan nilai murni merupakan panduan terbaik dalam usaha membangunkan masyarakat yang progresif dan sejahtera.
“Nilai yang diajarkan oleh Rasulullah SAW seperti integriti, disiplin, belas ihsan dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat amat diperlukan oleh generasi hari ini. Pendekatan hidup berteraskan akhlak juga mampu menjadi penyelesaian kepada pelbagai cabaran sosial yang dihadapi masyarakat,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial PERMIM, seramai 10 pelajar institusi pengajian tinggi menerima bantuan pendidikan dan dana pembelajaran. Azman Shah berkata, program bantuan pendidikan tersebut dilaksanakan setiap tahun bagi menyokong pembangunan masyarakat melalui bidang pendidikan.
Pada majlis yang sama, Dr. Y. Mansoor Maraikkan telah menerima Anugerah Tokoh PERMIM Maulidur Rasul 2026 sebagai penghargaan atas sumbangan cemerlang beliau dalam bidang khidmat masyarakat.

Persidangan itu turut menampilkan beberapa forum dan seminar berkaitan pembangunan belia serta penghayatan nilai akhlak. Antara tokoh yang menyampaikan pembentangan ialah Datuk Profesor Dr. Farid Ravi Abdullah, bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, dan Ustaz Dr. Bashir Al-Azhari.
Dalam majlis tersebut, Ayob Khan turut menerima penghargaan khas atas jasa dan sumbangan beliau kepada negara serta masyarakat.
ersidangan itu turut menampilkan syarahan khas oleh penceramah terkenal, Ustaz Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid, yang membawakan tajuk “Menghayati Akhlak Rasulullah ﷺ dalam Kehidupan Seharian Kita.”
Beliau menyeru umat Islam agar menjadikan akhlak Rasulullah SAW sebagai panduan dalam kehidupan bagi melahirkan masyarakat yang lebih berakhlak, bersatu dan harmoni.
Lebih 1,500 peserta menghadiri Persidangan Maulid Ke-6, termasuk kehadiran penceramah jemputan dari India, Sri Lanka dan United Arab Emirates yang berkongsi pandangan mengenai perpaduan masyarakat, ukhuwah dan kepentingan mengamalkan kehidupan berteraskan nilai akhlak.
Selain itu, siaran langsung program menerusi platform YouTube berjaya menarik lebih 7,000 tontonan, sekali gus membolehkan manfaat persidangan tersebut dinikmati oleh khalayak yang lebih luas.











