Harga minyak melonjak susulan Trump mahu guna 'ibu segala bom' - Utusan Malaysia

Harga minyak melonjak susulan Trump mahu guna ‘ibu segala bom’

DONALD Trump berdepan tekanan menjelang pilihan raya pertengahan penggal. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Harga minyak melonjak pada Khamis selepas satu laporan mendedahkan bahawa Presiden Donald Trump dan Israel merangka rancangan untuk melancarkan serangan baharu terhadap Iran selepas pilihan raya pertengahan penggal Amerika Syarikat (AS) selesai.

Harga minyak mentah Brent meningkat 2.68 peratus kepada AS$111.74 (RM456) setong. Trump kini hanya berbaki 12 hari sebelum pilihan raya pertengahan penggal, ketika beliau berusaha menurunkan harga bahan api.

Kenaikan mendadak harga petrol menyebabkan kos sara hidup terus meningkat, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan anggota parti Republikan terhadap kemungkinan kehilangan majoriti di kedua-dua Dewan Perwakilan dan Dewan Senat dalam tempoh kurang dua minggu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Komander Amerika AS dan Israel merangka operasi yang singkat tetapi sengit dengan menyasarkan tapak nuklear, infrastruktur tenaga, persenjataan peluru berpandu serta dron Iran, lapor New York Times.

Trump turut mencadangkan penggunaan bom GBU-43/B Massive Ordnance Air Blast seberat 9,979 kilogram, yang dikenali sebagai ‘ibu segala bom’, terhadap Gunung Pickaxe, sebuah tapak nuklear yang terletak jauh di bawah lapisan batu granit.

Pegawai berkata. presiden itu amat tertarik dengan senjata berkenaan, sebahagiannya kerana gelarannya.

Sesetengah perancang AS yakin serangan bertubi-tubi selama tiga hari boleh memburukkan lagi keadaan ekonomi Iran yang sudah terjejas, sekali gus memaksa Teheran mengalah dalam isu program nuklearnya selepas hampir lapan bulan berperang.

Trump berikrar awal bulan ini bahawa beliau tidak akan melancarkan serangan sebelum pilihan raya. 

Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, berkunjung ke Israel minggu ini bagi membincangkan rancangan serangan baharu itu dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Bagaimanapun, tiada jaminan serangan itu akan diteruskan memandangkan Trump berulang kali membatalkan operasi ketenteraan baharu, termasuk pada saat-saat akhir awal bulan ini.

Teheran pula menjanjikan tindak balas hebat dengan mengancam memperluas sasaran, bukan sahaja kapal tangki dan kemudahan minyak, malah pusat data serta kabel internet dasar laut.

“Serangan kami akan lebih dahsyat, kreatif dan berbeza,” amaran Mahdi Mohammadi, penasihat kanan kepada ketua perunding Iran. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini