Pertaruh nyawa guna jambatan senget

Pertaruh nyawa guna jambatan senget

STRUKTUR jambatan yang senget mengundang bahaya kepada penduduk di Kampung Kok Bedollah, Jubakar Pantai Tumpat, Kelantan. – UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Lebih 1,000 penduduk Kampung Kok Bedollah dan Jubakar Pantai di sini berdepan risiko keselamatan setiap kali menggunakan jambatan senget yang merentasi tali air, sekali gus mencetuskan kebimbangan struktur itu boleh runtuh jika tidak dibaiki segera.

Jambatan berkenaan menjadi laluan penting penduduk untuk ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tapang selain meng­hubungkan mereka ke bandar Tumpat dan Pengkalan Kubor.

Lebih membimbangkan, jambatan itu turut digunakan murid berbasikal ke sekolah manakala air hujan yang bertakung di atas permukaannya menyebabkan keadaan lantai sukar dilihat dengan jelas.

Memuatkan artikel berkaitan…

Seorang penduduk, Hasbullah Ahmad, 40, berkata, struktur jambatan itu mula senget selepas banjir besar yang melanda kawasan berkenaan pada 2024.

Katanya, keadaan itu dipercayai berlaku selepas lori lima tan membawa tanah melalui jambatan berkenaan untuk kerja-kerja penambakan selepas banjir.

“Lori lima tan memunggah tanah melalui jambatan itu untuk kerja-kerja menambun selepas banjir besar yang melanda kampung kami. Kesannya, jambatan ini menjadi senget dan berkemungkinan berlaku mendapan tanah di bawah struktur berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Hasbullah berkata, keadaan jambatan menjadi lebih berbahaya apabila hujan menyebabkan air bertakung sehingga menutupi permukaan lantai sekali gus menyukarkan pengguna menilai keadaan laluan.

Seorang lagi penduduk, Abdullah Mat Ghani, 45, berkata, dia menggunakan jambatan itu dua kali sehari untuk menghantar dan mengambil anaknya yang bersekolah di SK Sungai Tapang.

“Air bertakung di atas jambatan ini sehingga tidak nampak lantainya. Rasa takut setiap kali melalui jambatan ini kerana khuatir jambatan itu runtuh tetapi keadaannya terlindung dengan lopak air tersebut,” ujarnya.

Abdullah berkata, jambatan itu bukan sahaja menjadi laluan penduduk untuk urusan harian malah digunakan murid berbasikal yang berulang-alik ke sekolah.

Katanya, penduduk bimbang kejadian tidak diingini boleh berlaku sekiranya keadaan jambatan yang senget itu terus di­biarkan tanpa pemeriksaan dan pembaikan segera.

“Penduduk berharap pihak berkuasa berkaitan turun padang menilai tahap keselamatan struktur berkenaan serta mengambil tindakan segera bagi mengelakkan risiko yang boleh mengancam nyawa pengguna,” ujarnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini