Pandu kereta 15 km, kemudi bot setiap hari untuk imamkan solat

Pandu kereta 15 km, kemudi bot setiap hari untuk imamkan solat

MOHD. Amin Zulkahar Saari berulang alik setiap hari dengan mengemudi bot untuk mengimankan solat jemaah di Masjid Al Ahmadiah Mukim Teluk Renjuna, Tumpat, Kelantan. – UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Pandu kereta sejauh 15 kilometer dan mengemudi bot meredah Sungai Kelantan selama 10 minit.

Itu rutin harian setiap subuh sejak sembilan tahun lalu bagi Mohd. Amin Zulkahar Saari, 35, semata-mata mahu mengimamkan solat subuh di Masjid Al Ahmadiah Mukim Teluk Rejuna di sini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Amin berkata, situasi itu sedikit pun tidak mematahkan semangatnya melaksanakan tugas sebagai Imam Tua di masjid berkenaan.

“Saya tinggal di Kampung Jubakar Pantai dan perlu memandu kereta sejauh 15 kilometer untuk sampai ke jeti Kok Majid.

“Di jeti Kok Majid pula, saya perlu menaiki bot untuk sampai ke pulau Teluk Renjuna. Hal ini kerana bot merupakan nadi pengangkutan utama penduduk di situ dalam urusan harian mereka,” katanya.

Mohd. Amin memberitahu, dia hanya akan pulang ke rumah selepas selesai mengimamkan solat isyak.

Katanya, sepanjang menggalas tugas itu dia menempuh pelbagai cabaran terutama semasa musim tengkujuh.

“Walaupun arus sungai deras ketika itu, ia bukan halangan untuk saya sampai ke masjid bagi menjalankan tanggungjawab sebagai imam.

“Kerap juga pakaian saya basah sepanjang perjalanan. Namun saya sentiasa membawa pakaian lebih untuk persalinan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN