PETALING JAYA: Skuad tenpin boling negara menutup kempen acara berpasukan Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) dengan dua pingat gangsa selepas skuad lelaki dan wanita negara masing-masing terkandas dalam aksi separuh akhir di Munich, kelmarin.
Skuad lelaki negara yang dibarisi Rafiq Ismail, Timmy Tan, Tun Hakim Tun Hasnul Azam dan Ahmad Muaz Mohd Fishol memulakan saingan kalah mati dengan menewaskan Qatar 220-193 jatuhan pin sebelum menyingkirkan Kanada 236-213 jatuhan pin pada aksi suku akhir.
Bagaimanapun, cabaran Malaysia terhenti apabila tewas kepada Australia dengan 275-194 jatuhan pin di peringkat separuh akhir.
Nasib sama turut menimpa pasukan wanita negara diwakili Adelia Nur Irwan Syazalee, Nur Hazirah Ramli, Sin Li Jane dan Natasha Roslan selepas tewas kepada Singapura dengan 174-191 jatuhan pin pada aksi separuh akhir.
Perancis menungguli saingan lelaki selepas menewaskan Australia manakala bagi kategori wanita menyaksikan Denmark muncul juara setelah menundukkan Singapura.
Mengulas lanjut, Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) berkata dalam satu kenyataan, pencapaian dua pingat gangsa itu mencerminkan keazaman, ketahanan dan semangat juang yang ditunjukkan pemain negara sepanjang kejohanan.
“Walaupun kempen kali ini tidak berakhir dengan pingat emas, keazaman, ketahanan dan semangat juang yang ditampilkan oleh pemain negara sepanjang pertandingan merupakan pencapaian yang wajar dibanggakan.
“Setiap balingan menguji kemahiran, setiap perlawanan memberikan pengajaran dan setiap cabaran membuka peluang untuk terus memperbaiki prestasi,” katanya.
Terdahulu, wakil negara, Natasha meraih perak dalam acara perseorangan wanita negara selepas tewas kepada Manon Clement dari Perancis sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya pada edisi lalu. – UTUSAN











