TERUS terang dikatakan, penyanyi Black Hanifah antara pelantun vokal terbaik industri pernah lahirkan.
Perkara itu terbukti menerusi lagu-lagu hits seperti Aku Rindu Sayang Kamu, Sofea Jane, Teman Pengganti, Hijab Rindu dan banyak lagi yang berjaya mencuri perhatian sebelum ini.
Namun setahun dua kebelakangan ini Black atau nama sebenarnya, Hanifah Muhammad Hanafiah didakwa memperlahankan kerjaya nyanyian demi memberi ruang kepada perniagaan Vila yang diusahakannya di Langkawi.
Amat jarang sekali kita melihat dia kedepan, sama ada di kaca televisyen atau corong radio. Ada pula yang mendakwa Black secara perlahan-lahan keluar dari dunia hiburan kerana wujudnya persaingan daripada pendatang baharu. Perkara itu ditanyakan kepada Black sewaktu sidang media lagu, Terlerai Sudah di Hard Rock Cafe baru-baru ini.
Menurut Black, tidak pernah sekalipun dia terfikir untuk menarik diri daripada dunia nyanyian malah kegiatan itu masih menjadi punca pendapatan utama untuk dia menyara seisi keluarga.
“Saya pernah dituduh terlibat dalam kegiatan cuci duit. Sebenarnya, seratus peratus peruntukan yang saya gunakan untuk menghasilkan villa saya itu adalah hasil daripada kegiatan nyanyian. Daripada tahun 2009 sampai sekarang. Bukan tiba-tiba saya ada duit, tiba-tiba saya bina villa dan sebagainya.
“Jadi menyanyi masih menjadi punca pendapatan saya sampai ke hari ini. Cuma saya sudah tidak kedepan di kaca televisyen kerana sibuk dengan perniagaan menguruskan villa di Langkawi. Kebanyakan mata pencarian saya adalah dengan menyanyi di majlis-majlis korporat. Alhamdulillah saya masih menerima undangan.
“Dan perkara itu saya abadikan dalam media sosial saya. Bagi yang mengikuti, mereka tahu perkembangan saya, apa yang sedang saya lakukan sekarang.
“Jadi sekali lagi saya tegaskan, apa yang saya miliki hari ini seratus peratus daripada kegiatan nyanyian, saya masih lagi berusaha untuk menempa nama di dalam industri seni,” katanya.
Black memaklumkan berehat daripada dunia nyanyian bukan dalam perancangannya malah dia sedang rancak merangka perjalanan kariernya.
“Saya tidak pernah berehat dan tak pernah terfikir untuk ke arah itu. Buktinya adalah saya berterusan menerbitkan lagu dan yang terbaharu adalah Terlerai Sudah ini.
“Kalau anda mengikuti media sosial saya anda akan tahu yang saya masih lagi bekerja, menerima undangan nyanyian di semua tempat.
“Kalau dua tahun kebelakangan ini saya dikatakan perlahankan akvititi nyanyian, perkara itu tidak benar kerana ada saja tawaran (menyanyi) yang saya terima. Malah baru-baru ini lagi duet saya bersama Adira, Memilih Kamu tercalon di Anugerah Industri Muzik baru-baru ini.
“Dan saya masih lagi menerima tawaran berkolaborasi dengan jenama atau produk tertentu, antaranya Nescafe dan sebagainya. Mungkin perkara itu orang terlepas pandang. Alhamdulillah saya masih lagi berada dalam industri seni ini, mewarnai. Masih boleh guna lagi budak hitam ini,” kongsinya.

SATU TAHUN TUNGGU LAGU BAHARU
Mengulas mengenai lagu terbaharu Terlerai Sudah, Black memaklumkan dia dan pihak Nova Music menolak banyak lagu bagi memberi laluan untuk lagu ini diterbitkan.
Katanya, lagu ciptaan Mas Dewangga, Ba Ermy dan Jova Devito serta lirik yang mendapat sentuhan bersama Datuk Arisz Ab Rahman tidak mudah untuk dinyanyikan dan mengambil masa yang lama untuk direkodkan.
“Terlerai Sudah ini mengambil masa satu tahun untuk dikeluarkan. Kami rekod sekitar bulan November tahun lepas, namun ianya baru sekarang diterbitkan kerana kami menetapkan tarikh yang sesuai.
“Sebenarnya saya dan pihak Nova Music menerima banyak lagu, namun selepas kami menyaring satu per satu, kami tetapkan Terlerai Sudah ini menjadi single susulan selepas lagu Hijab Rindu.
“Penyampaian lagu ini berbeza dengan lagu-lagu saya sebelum ini. Saya perlu menonjolkan sepenuhnya kekuatan vokal kerana setiap setiap ayat dalam lagu ini disampaikan dengan satu nafas.
“Rakaman mengambil masa yang lama, kira-kira dua jam kerana liriknya pendek. Dan setiap ayat mempunyai perasaan yang perlu saya luahkan dalam nyanyian. Jadi bagi saya lagu ini agak berat untuk dinyanyikan,” katanya.
Black memaklumkan pihak Nova Music tidak membenarkan sebarang rakaman lagu baharu dibuat bagi memberi laluan kepada pengaruh single Terdahulu, Hijab Rindu.
“Pihak Nova Music menyatakan bahawa harus ada lagu yang dapat menandingi kekuatan Hijab Rindu, baharu saya dibenarkan untuk masuk studio dan rakam lagu itu.
“Saya agak tertekan apabila permintaan saya untuk rakamkan lagu tidak mendapat kebenaran pihak Nova kerana belum ada lagu yang menyengat.
“Saya risau kalau lama tidak ada lagu, nama saya mungkin tenggelam. Harapnya tidaklah begitu.
“Saya harapkan, dengan kualiti lagu ini, ditambah lagi dengan penyampaian saya, maka lagu ini akan diterima baik oleh pendengar kita,” katanya lagi.
Menampilkan genre yang sama, Black merasakan tiada keperluan untuk dia menyanyikan lagu genre berbeza kerana merasakan sudah serasi dengan jenis lagu sedia ada.
“Saya nyanyi lagu apa sekalipun, orang akan kenal yang suara itu adalah suara saya. Bagilah apa jenis lagu sekalipun.
“Jadi lebih baik saya kekalkan identiti saya supaya saya tak tersasar. Saya juga tak mahu suara saya ini menjadi bahan uji kaji.
“Setakat ini, orang tahu saya penyanyi lagu apa menerusi naskhah atau genre yang saya bawakan. Kenapa perlu saya ubah perkara itu?
“Saya boleh cuba untuk nyanyi genre lain, namun saya tak berani kerana risau kalau perkara itu akan merosakkan kredibiliti saya sebagai penyanyi yang sudah ada nama,” ujarnya.











