PETALING JAYA: Kemeriahan program Gegar Vaganza musim ke-13 dimeriahkan dengan penglibatan 12 juara Akademi Fantasia yang bakal berentap merebut kejuaraan.
Peserta yang diumumkan antaranya Mawi, Vince, Zahid, Mila Jirin, Faizal, Faizol, Shahir, Firman dan Stacy.
Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata GV13 bakal menjadi program yang dinantikan kerana disertai juara AF terdahulu.
“Tercetusnya populariti astro adalah melalui program Akademi Fantasia. Tiba masanya kami gabungkan dua jenama ikonik menjadi satu.
“AF terkenal dengan kejutan dan kerana itu menerusi GV juga akan kejutan-kejutan tersendiri antaranya pengacara dan empat lagi peserta yang bakal menyertai Program tersebut,” kata Raqim dalam sidang media GV13 di Menara Ken, TTDI.
Dalam pada itu, Nabil Ahmad dan Sherry Alhadad diumumkan bakal menerajui sebagai pengacara GV13 kali ini.
“Terima kasih Astro kerana memberi kepercayaan kepada kami untuk mengacarakan GV buat kali ketiga,” kata Sherry.
Prof. Datuk ramli MS, Datuk Shafinaz Selamat dan Hetty Koes Endang kekal sebagai juri tetap program berkenaan.
“Sudah 13 tahun, peserta boleh agak. Saya sudah tengok macam-macam perangai, nyanyian. Tapi kalau peserta itu bagus saya akan minta dia buat macam -macam. Saya akan push mereka sehingga ke tahap 10,” kongsi Ramli.
Gegar Vaganza Musim 13 bakal bersiaran secara langsung mulai 8 November, jam 9 malam, di Astro Ria (saluran 104). – UTUSAN











