Wakaf Pulau Pinang rancang bangunkan enam projek pembangunan lebih RM200j

Wakaf Pulau Pinang rancang bangunkan enam projek pembangunan lebih RM200j

ABDUL MOHSEIN MOHD. SHARIFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Wakaf Pulau Pinang merancang membangunkan enam projek pembangunan dengan nilai keseluruhan melebihi RM200 juta merangkumi perumahan mampu milik, rumah asnaf serta kemudahan logistik bagi meningkatkan pemilikan hartanah dalam kalangan umat Islam di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Wakaf Pulau Pinang, Abdul Mohsein Mohd. Shariff berkata, kesemua enam projek berkenaan melibatkan tanah yang diserahkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) untuk ditadbir dan dibangunkan secara berperingkat.

Menurutnya, projek berkenaan kini dalam proses perancangan dan dijangka dilaksanakan untuk tempoh pembangunan selama kira-kira 36 bulan dengan sasaran melengkapkan perancangan pada 2027.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Hasrat kita bukan untuk membangunkan hartanah semata-mata bagi mendapatkan keuntungan, sebaliknya kita mahu memberi peluang kepada umat Islam khususnya di Pulau Pinang untuk memiliki hartanah sendiri,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pembangunan Wakaf Pulau Pinang 2026 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Mohsein berkata, secara keseluruhannya, pembangunan perumahan yang dirancang itu dijangka menyediakan kira-kira 1,000 unit rumah menerusi beberapa projek termasuk pembangunan yang telah dilaksanakan sebelum ini.

“Harga rumah yang akan ditawarkan pula akan mengambil kira kemampuan pembeli. Contohnya, harga hartanah di bahagian pulau yang bernilai kira-kira RM300,000 berpotensi untuk ditawarkan pada harga RM250,000 menerusi potongan harga,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Wakaf Pulau Pinang turut melihat potensi pembangunan tanah wakaf di daerah Timur Laut khususnya kawasan yang mempunyai penduduk Melayu Islam tetapi masih mencatatkan tahap pemilikan hartanah yang rendah.

Katanya, ketika ini, terdapat kira-kira 150 ekar tanah wakaf yang masih belum dibangunkan di kawasan berkenaan sekali gus membuka ruang untuk pembangunan yang dapat membantu meningkatkan pemilikan hartanah umat Islam di kawasan bandar.

Tambah beliau, Wakaf Pulau Pinang ketika ini juga ketika ini sedang meneliti cadangan untuk membangunkan hotel atau rumah musafir di daerah yang sama selain melihat keperluan berikutan nilai tanah di situ yang tinggi serta melihat potensi sektor pelancongan kesihatan termasuk menyediakan penginapan kepada pengunjung yang mendapatkan rawatan di negeri ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini