IPOH: “Saya sakit hati kerana sebelum ini dia (nenek saudara) menuduh saya mencuri di rumahnya. Saya lakukan semua ini (merompak) bukan dengan niat”.
Demikian rayuan Mohamad Fitri Abdul Aziz, 39, ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merompak warga emas berusia 77 tahun dalam kejadian minggu lalu.
Dalam prosiding di hadapan Hakim Ainul Shahrin Mohamad, lelaki yang juga penganggur dan masih bujang itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Fitri didakwa merompak sepasang subang emas milik Lailan Yeop dengan bersenjatakan sebatang pemutar skru di sebuah rumah di Kampung Tanjong, Kampung Kepayang, Simpang Pulai di dalam daerah Kinta pada pukul 10.30 pagi, 16 Oktober 2026.
Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Hairol Gemain memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan terhadap lelaki terbabit dengan mengambil kira mangsa merupakan nenek saudara tertuduh.
Menurut beliau, pihaknya percaya niat tertuduh untuk melakukan rompakan wujud sejak awal berdasarkan fakta kes, termasuk kejadian yang berlaku pada pukul 10.30 pagi ketika mangsa berada bersendirian di rumah.
“Tertuduh mengambil kesempatan terhadap keadaan itu untuk melakukan rompakan, sebelum menjual salah satu daripada subang milik mangsa di pajak gadai bagi memperoleh keuntungan secara salah hasil perbuatan jenayah berkenaan,” katanya.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam ketika diminta membuat rayuan memohon mahkamah meringankan hukuman terhadapnya atas alasan perbuatannya itu didorong perasaan sakit hati terhadap mangsa.
Ketika ditanya Hakim mengenai punca perasaan itu, tertuduh berkata, dia berkecil hati selepas ibu saudara tersebut pernah menuduhnya mencuri di rumahnya sebelum ini.
“Saya rayu puan untuk ringankan hukuman. Saya lakukan semua ini bukan atas niat, saya cuma sakit hati sebab dia tuduh saya mencuri,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun dan satu sebatan terhadap tertuduh, berkuat kuasa dari tarikh dia ditangkap pada 16 Oktober lalu. – UTUSAN











