TEMERLOH: Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengesan ciri-ciri ritual mistik di Gua Terang Bulan, Gunung Senyum di sini yang dikhuatiri boleh membuka ruang kepada penyelewengan akidah sekiranya dikaitkan dengan kepercayaan bercanggah dengan syariat Islam.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAIP, Noridzuan Abdul Manan berkata, beliau sudah mengunjungi lokasi berkenaan bagi meninjau keadaan gua yang dikaitkan dengan pelbagai cerita dan amalan mistik dalam kalangan masyarakat.
Katanya, antara amalan yang dibangkitkan adalah dakwaan ritual mandi di Gua Terang Bulan yang dikaitkan dengan kepercayaan tertentu termasuk keinginan mengubah nasib atau memperoleh kelebihan melalui unsur mistik.
“Kewujudan gua dan fenomena semula jadi seperti air menitis bukanlah isu utama sebaliknya kepercayaan yang dikaitkan dengan tempat berkenaan sehingga berpotensi menjejaskan akidah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Gunung Senyum turut dikaitkan dengan cerita lisan tentang makam Tok Long dan kisah seorang lelaki yang dikatakan pernah berkahwin dengan puteri bunian sebelum terpisah daripada isterinya di alam lain. Bagaimanapun, cerita sedemikian perlu dibezakan daripada fakta sejarah yang dapat dibuktikan.
Noridzuan berkata, masyarakat perlu menilai sesuatu amalan berdasarkan ajaran Islam dan tidak menerimanya secara membuta tuli hanya kerana dikaitkan dengan lokasi tertentu atau diwarisi turun-temurun.
“Kepercayaan terhadap perkara luar biasa boleh membuka ruang kepada pihak tertentu mengambil kesempatan terutama apabila unsur mistik digunakan untuk mempengaruhi individu yang mencari kelebihan atau perubahan nasib melalui amalan tertentu,” katanya.
Menurutnya, bagi mengekang penularan kepercayaan yang bercanggah dengan akidah Islam, JAIP secara berterusan menganjurkan Program Pemerkasaan Syariah dan Akidah (Persada) 2026 termasuk program di Masjid As-Sabirin, Felda Jengka 24, baru-baru ini.
“Program ini bertujuan meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai syariah dan akidah serta memberi pendedahan mengenai ancaman ajaran yang telah difatwakan menyeleweng oleh pihak berkuasa agama,” katanya.-UTUSAN.








