Malaysia terus memperkukuh inovasi pertanian melalui teknologi pintar, penderia digital, Internet Benda (IoT) dan kecerdasan buatan (AI).
Kemajuan ini membuka peluang meningkatkan produktiviti, kecekapan sumber dan daya tahan sektor agromakanan bagi mengoptimumkan manfaatnya, keupayaan petani dan sistem pengembangan pertanian perlu berkembang seiring.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar sara diri beras meningkat daripada 52.9 peratus pada 2024 kepada 54.3 peratus pada 2025. Usaha memperkukuh pengeluaran domestik perlu diteruskan bagi mencapai sasaran 80 peratus menjelang 2030.
Pertanian pintar dan literasi teknologi petani
Penderia kelembapan tanah, pengairan automatik dan pemantauan tanaman berasaskan IoT berpotensi membantu petani membuat keputusan lebih tepat. Analisis data dan AI pula menyokong pengesanan awal masalah tanaman, perancangan input serta penggunaan sumber secara cekap.
Namun, manfaat teknologi bergantung pada keupayaan petani memahami data dan menyesuaikan penggunaannya dengan keadaan pengeluaran.
Penyelidikan tempatan mengenai penerimaan teknologi penyesuaian perubahan iklim menunjukkan bahawa faktor ekonomi, institusi dan budaya berkait dengan keputusan petani menerima inovasi.
Dapatan ini memperlihatkan bahawa penerimaan teknologi perlu difahami berdasarkan keupayaan, sumber dan persekitaran pengusaha, bukan sekadar kesediaan berubah.
Oleh itu, literasi teknologi pertanian perlu melangkaui kemahiran mengendalikan peranti. Petani perlu menilai kesesuaian teknologi, memahami cadangan berasaskan data dan mengaplikasikannya dalam pengurusan ladang.
Memperkasa pengembangan pertanian
Ketidaktentuan cuaca meningkatkan kepentingan maklumat pertanian yang tepat pada waktunya. Pengembangan pertanian berasaskan digital boleh melengkapkan latihan, demonstrasi dan lawatan lapangan melalui aplikasi mudah alih, platform ilmu serta khidmat nasihat berbantukan AI.
Sebagai contoh, bacaan penderia yang menunjukkan tanah semakin kering tidak semestinya bermaksud pengairan perlu ditambah segera.
Keputusan masih memerlukan pertimbangan jenis tanaman, keadaan tanah, ramalan hujan dan kos operasi. Keupayaan menggabungkan data digital dengan pengetahuan agronomi perlu dipupuk melalui pengembangan pertanian. Teknologi berfungsi sebagai alat membuat keputusan, bukan pengganti pengalaman petani.
Pendekatan hibrid yang menggabungkan bimbingan bersemuka dengan sokongan digital menggalakkan pembelajaran berterusan.
Matlamatnya bukan sekadar memperkenalkan aplikasi, tetapi membangunkan generasi petani celik teknologi, mampu menilai maklumat dan membuat keputusan sistematik, serta memperkukuh keyakinan mereka mengurus cabaran pertanian dalam persekitaran yang semakin kompleks.
Menterjemahkan agenda digital
Belanjawan 2027 menyediakan kemudahan pembiayaan melebihi RM1 bilion kepada usahawan tani, termasuk bagi menyokong penggunaan teknologi.
Peruntukan RM300 juta pula memperkukuh kerjasama projek agromakanan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Inisiatif ini membuka ruang memperluas inovasi dan pembangunan keupayaan pengusaha.
Persoalan penting ialah bagaimana agenda digital negara dapat diterjemahkan kepada pembangunan kompetensi petani. Transformasi pertanian bukan sekadar memperluas teknologi pintar, tetapi memerlukan literasi digital, keupayaan mentafsir data dan kemahiran membuat keputusan berasaskan maklumat.
Tiga keutamaan wajar diberi perhatian: penglibatan petani dalam pembangunan dan pengujian inovasi, pengukuhan kompetensi digital melalui bimbingan berterusan serta penilaian keberhasilan berdasarkan produktiviti, kecekapan kos dan penggunaan teknologi secara berkekalan.
Akses internet, kemudahan digital dan latihan bersesuaian penting agar manfaat inovasi dinikmati pelbagai kelompok pengusaha.
Universiti Putra Malaysia (UPM) berperanan menghubungkan penyelidikan dengan keperluan lapangan melalui kerjasama agensi, pengujian teknologi dan pembangunan kompetensi petani.
Masa depan keterjaminan makanan bukan hanya bergantung pada kecanggihan inovasi pertanian, tetapi juga keupayaan melahirkan generasi petani celik teknologi, berdaya saing dan mampu memanfaatkan kemajuan digital untuk membangunkan pertanian produktif, berdaya tahan serta mampan.
- Penulis adalah Pensyarah Kanan, Jabatan Teknologi Pertanian, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM)











