PETALING JAYA: Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (FCPO) berpotensi menguji paras RM5,000 selepas mencatat kenaikan RM51 kepada RM4,817 setan pada Selasa, disokong momentum menaik yang semakin kukuh.
RHB Investment Bank Berhad berkata, pergerakan harga terkini membentuk pola lilin menaik baharu dengan paras tertinggi lebih tinggi berbanding sebelumnya, manakala purata pergerakan mudah (SMA) 50 hari dan 200 hari yang bergerak menaik turut menyokong harga komoditi itu.
Katanya, FCPO masih berdepan paras rintangan pada RM4,850 yang perlu diatasi sebelum berpotensi bergerak lebih tinggi ke paras RM5,000.
“Walaupun paras rintangan MYR4,850 masih kukuh, pergerakan harga positif yang sedang berlangsung terus mengekalkan trend pasaran yang memihak kepada mereka yang menantikan kenaikan harga.
“Bias kenaikan harga masih ada sementara menunggu harga menembusi paras RM4,500,” katanya dalam nota penyelidikan.
Bank pelaburan mengekalkan saranan belian bagi FCPO dan menyarankan pedagang meneruskan pegangan belian yang dimulakan pada harga RM4,769 ketika penutupan dagangan 16 Oktober lalu.
Tambahnya, paras henti rugi ditetapkan pada RM4,650 bagi mengurus risiko dagangan, dengan paras itu juga menjadi sokongan pertama sebelum sokongan seterusnya pada RM4,500. – UTUSAN










