Ketika doktor memaklumkan dia mungkin tidak mampu berjalan seperti kanak-kanak seusianya akibat cerebral palsy, ibu bapa Zulfaqar Aslam Zulkefli tidak pernah berputus asa mencari ikhtiar demi membantu anak mereka.
Kesungguhan itu akhirnya membuahkan hasil apabila Zulfaqar, 26, boleh berjalan sendiri pada usia lapan tahun.
Lebih membanggakan, dia berjaya menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Kerja Sosial di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 2025, sekali gus membuktikan keterbatasan fizikal bukan penghalang untuk mengejar cita-cita dan menggapai kejayaan.
Menurutnya, zaman kanak-kanaknya dipenuhi dengan rawatan dan sesi fisioterapi bagi membantunya meningkatkan keupayaan fizikal.
“Ibu dan ayah sanggup berulang-alik sejauh 30 kilometer dari Pagoh ke Muar, sehingga tiga kali sebulan untuk membawa saya mendapatkan rawatan.
“Doktor pernah memberitahu saya tidak boleh berjalan, tetapi ibu dan ayah tidak pernah berhenti berusaha,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Usaha ibu bapa jadi kekuatan
Zulfaqar berkata, ibunya turut melakukan pelbagai usaha untuk membantunya belajar berjalan, termasuk melatihnya menaiki dan menuruni bukit di kawasan sekolah tempat keluarganya menetap ketika itu.
Latihan tersebut dilakukan berulang kali bagi membantunya membina kekuatan fizikal sehingga dia akhirnya mampu berjalan sendiri pada usia lapan tahun.
“Saya sendiri tidak sangka boleh berjalan sebab sebelum ini doktor sudah beritahu perkara sebaliknya. Ibu dan ayah tetap berusaha untuk membantu saya,” katanya.
Pengalaman itu menjadi antara perkara yang membentuk dirinya untuk terus mencuba meskipun berdepan keterbatasan fizikal.
Baginya, keadaan tersebut bukan alasan untuk berhenti berusaha, sebaliknya mendorongnya melakukan pelbagai perkara mengikut kemampuan sendiri.
Empat tahun menuntut ilmu
Selepas melalui pelbagai cabaran sejak kecil, Zulfaqar meneruskan pengajian dalam bidang kerja sosial di UniSZA pada 2021 sebelum berjaya menamatkannya pada 2025.

Kejayaan menggenggam ijazah itu menjadi antara pencapaian paling bermakna buat dirinya selepas melalui perjalanan panjang dalam membesar dan mendapatkan pendidikan.
Katanya, sokongan keluarga dan rakan-rakan banyak membantunya meneruskan pengajian sehingga berjaya menamatkan pengajian dalam tempoh empat tahun.
“Saya bersyukur kerana ibu bapa dan keluarga menerima keadaan saya serta sentiasa memberikan sokongan. Namun, usaha daripada diri sendiri juga penting untuk kita terus maju,” katanya.
Bagi Zulfaqar, sokongan orang sekeliling penting, namun keinginan untuk berusaha dan memperbaiki kehidupan juga perlu datang daripada diri sendiri.
Aktif hasilkan kandungan
Selain memberi tumpuan kepada kehidupan selepas tamat pengajian, Zulfaqar turut aktif menghasilkan kandungan video di media sosial sejak 2021 berbekalkan minatnya dalam penyuntingan video.
Menerusi kandungan tersebut, dia berkongsi aktiviti hariannya selain berusaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai komuniti OKU, khususnya individu yang mempunyai keadaan kesihatan sepertinya.
Jelasnya, dia berharap perkongsian tersebut dapat membantu masyarakat memahami kehidupan golongan orang kurang upaya (OKU) dengan lebih baik, termasuk keupayaan mereka menjalankan aktiviti harian mengikut kemampuan masing-masing.
Usaha menghasilkan kandungan juga menjadi ruang untuknya berkongsi pengalaman sendiri, sekali gus membuka peluang kepada masyarakat mengenali komuniti OKU daripada sudut yang lebih dekat.
Bina kehidupan selepas graduasi
Menurut Zulfaqar, dia tidak hanya bergantung kepada pencapaian akademik, malah turut mengusahakan perniagaan pakaian sebagai antara usahanya membina kehidupan sendiri.
Dia juga menghasilkan kandungan promosi dan menyertai acara larian di Terengganu serta Kelantan, selain meneruskan aktiviti yang diminatinya.
Katanya, dalam tempoh beberapa tahun akan datang, dia berharap dapat mengembangkan usahanya dan menghasilkan lebih banyak kandungan yang membawa manfaat kepada masyarakat.
“Saya berharap dapat menghasilkan lebih banyak kandungan untuk meningkatkan kesedaran mengenai OKU dan membantu golongan lain melalui perkongsian pengalaman.
“Saya berharap masyarakat lebih memahami komuniti OKU, termasuk cerebral palsy dan keadaan lain yang kurang difahami,” katanya.











