Jambatan gantung kampung Orang Asli dihanyut kepala air

Jambatan gantung kampung Orang Asli dihanyut kepala air

KEADAAN jambatan gantung yang dihanyutkan kepala air di Kampung Brooke Lama, Pos Brooke, Gua Musang, Kelantan. - IHSAN PENDUDUK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Lebih 100 penduduk Orang Asli di Kampung Brooke Lama, Pos Brooke di sini, terputus jalan perhubungan utama apabila jambatan gantung yang merentasi Sungai Belatop dihanyutkan kepala air, petang semalam.

Penghulu Kampung Brooke Lama, Rian Bujang berkata, hujan kira-kira pukul 4 petang sebelum paras air sungai meningkat dan arus menjadi deras.

Katanya, penduduk menyedari kejadian kepala air yang membawa arus deras sehingga menghanyutkan struktur jambatan gantung berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kejadian itu menyebabkan penduduk hilang laluan utama untuk berulang-alik ke kawasan luar bagi urusan harian dan perlu menggunakan laluan alternatif yang lebih jauh.

“Sebahagian penduduk terpaksa berlindung di Dewan Terbuka Pejabat Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pos Brooke manakala yang lain berada di rumah masing-masing selepas kejadian itu. Tiang konkrit jambatan berkenaan dipercayai turut patah akibat dihanyutkan arus deras,” katanya di sini.

Rian berkata, jambatan gantung itu pernah dibaik pulih lebih dua tahun lalu selepas mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi susulan laporan media mengenai kesengsaraan penduduk Orang Asli yang terpaksa menggunakan jambatan uzur sebelum ini.

Katanya, jambatan itu adalah kemudahan penting bagi penduduk untuk mendapatkan bekalan keperluan asas, menghantar anak ke sekolah dan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pos Brooke.

“Terdapat laluan alternatif berupa jalan konkrit yang dibina Jakoa di belakang kampung dan bersambung dengan jalan berturap menuju ke Kampung Liak serta Kuala Rengil. Laluan itu bagaimanapun lebih jauh berbanding jalan pintas yang merentasi Sungai Belatop,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jakoa Negeri Kelantan dan Terengganu, Mohd. Faedzyal Mohamed berkata, kira-kira 44 keluarga yang tinggal di sekitar Kampung Brooke Lama terjejas akibat kejadian berkenaan.

Katanya, sebagai tindakan awal, pihaknya telah memaklumkan kejadian itu kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana bagi mendapatkan bantuan kecemasan susulan laporan bahawa kampung berkenaan terputus hubungan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini