Selain al-Quran, pelajar tahfiz turut TVET usahawan ikan pekasam

Selain al-Quran, pelajar tahfiz turut kuasai TVET usahawan ikan pekasam

SEBAHAGIAN pelajar tahfiz bersama pensyarah yang menjalani kursus keusahawanan penghasilan ikan pekasam tilapia Kolej Komuniti Jerantut, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PELAJAR tahfiz bukan sahaja rutin harian mereka menghafaz al-Quran, mengerjakan solat berjemaah serta mempelajari ilmu agama, tetapi turut diterapkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi persediaan menceburi bidang keusahawanan.

Pendekatan seperti itu bukan sahaja melahirkan generasi yang mempunyai ilmu agama malahan mampu bekerja diasosiasikan amalan berfikir secara kritis dan inovatif di samping semangat untuk menguruskan perniagaan dan berdikari selepas menguasai 30 juzuk al-Quran.

Memuatkan artikel berkaitan…

Daripada mengusahakan tiga buah kolam ternakan ikan tilapia secara bioflok setahun lalu kini seramai 30 orang pelajar Maahad Qiraat An Nur Bukit Puas, Jerantut berjaya mengorak peluang keusahawanan dan pemasaran ikan tilapia pekasam.

 

 

Sistem bioflok ialah teknologi penternakan ikan moden yang menggunakan mikroorganisma (seperti bakteria, alga, dan protozoa) untuk menukar sisa buangan berbahaya seperti ammonia daripada najis ikan dan baki makanan menjadi gumpalan organik kaya nutrien yang dipanggil flok.

Di sebalik usaha bersungguh dan minat mendalam serta diiringi doa, kejayaan pelajar berkenaan juga merupakan bantuan Kolej Komuniti Jerantut (KKJ) di bawah kendalian pensyarah TVET dengan penuh dedikasi menerapkan kemahiran penghasilan ikan pekasam tilapia secara tersusun untuk pasaran.

Bercakap kepada Utusan Pelajar, Pengerusi Maahad Qiraat An Nur, Bukit Puas Jerantut, Abdul Rafid Fateh Mohamad berkata, pada hujung tahun lalu, pelajar mula mengusahakan tiga buah kolam yang menternak ikan tilapia secara bioflok menerusi program akuakultur KKJ. “Ikan tilapia bioflock ini telah matang dan kini dijual secara runcit kepada penduduk setempat dan nyata mendapat sambutan menggalakkan.

 

“Memandangkan projek ternakan ini berjaya dari segi pasaran, kita sekali lagi dibantu oleh pensyarah TVET KKJ untuk mededahkan satu lagi produk hiliran berasaskan ikan tilapia yang diternak,” katanya di Bukit Puas, Jerantut baru-baru ini.

Menurut Abdul Rafid, program tersebut merupakan satu pendekatan menarik dalam pendidikan tahfiz kerana ia menggabungkan ilmu agama dengan kemahiran teknikal dan keusahawanan.

Katanya, menerusi latihan TVET, di bawah tunjuk cara atau latihan, pelajar tahfiz mempelajari proses penyediaan ikan pekasam secara lebih teratur dan bersih.

“Kemahiran menerusi kursus ini yang diperoleh melibatkan kerja berperingkat, iaitu menyiang, membersihkan, menyediakan bahan perapan, proses pemeraman sehinggalah kepada pembungkusan.

“Di sinilah signifikan konsep TVET benar terserlah dan berjaya mengubah pemikiran pelajar. Mereka bukan sekadar mengetahui teori, tetapi belajar dengan melakukan sendiri,” katanya.
Abdul Rafid menjelaskan program TVET tidak mengetepikan matlamat pendidikan tahfiz sebaliknya menjadi pelengkap kepada pembentukan sahsiah pelajar yang mempunyai ilmu agama dan kemahiran mengisi kehidupan, iaitu bidang keusahawanan selepas tamat belajar nanti.

Sementara itu, Pengarah Program KKJ, Muhammad Muizzulihab Morsid berkata, kursus itu memberikan pendedahan secara teori dan praktikal mengenai teknik penghasilan ikan pekasam tilapia.

“Pendedahan kemahiran bermula daripada pemilihan dan penyediaan ikan, penggunaan bahan yang sesuai, proses pemeraman sehinggalah kepada pengendalian dan pembungkusan produk.

“Peserta juga didedahkan kepada aspek kebersihan dan keselamatan makanan serta potensi produk ikan pekasam untuk dikembangkan sebagai produk keusahawanan,” katanya.
Muhammad Muizzulihab berkata, pelaksanaan kursus ini juga merupakan antara usaha KKJ memanfaatkan kepakaran bidang akuakultur bagi membantu pelajar dan masyarakat setempat memperoleh kemahiran yang boleh diaplikasikan dalam kehidupan harian dan berpotensi menjana pendapatan.

Beliau berkata, pelajar juga dibimbing mengenai pengurusan membahagikan tugas, menjaga kebersihan, mengawal kualiti produk, mengira kos serta memahami asas keuntungan.

Tambahnya, KKJ berharap ilmu dan kemahiran yang diberikan dapat dimanfaat oleh pelajar untuk menghasilkan produk sendiri dan seterusnya membuka peluang keusahawanan serta pemasaran berasaskan hasil perikanan.

Dalam pada itu, pelajar tahfiz, Muhammad Al Mubarak Ab. Karim berkata, pada mula ikan tilapia matang, mereka yang sebelum ini menguruskan ternakan hanya diberi tugasan menjual dan menguruskan hasil pendapatan.

“Malahan saya tidak tahu bahawa ikan tilapia boleh diproses menjadi ikan pekasam dan sumber makanan lain yang boleh dikomersialkan sehinggalah menerima tunjuk ajar pensyarah KKJ,” katanya.

Berkongsi perkara yang sama, Muhammad Najmi Mazni Azli, berkata setelah menjalani kursus TVET lebih sebulan, saya dan rakan mampu menguasai kemahiran memproses ikan tilapia pekasam sekali gus bercita-cita menceburi usahawan berkenaan.

“Pengalaman belajar di maahad ini dan latihan TVET bidang akuakultur membolehkan saya membuat persediaan menceburi bidang keusahawanan selepas menyudahkan hafazan 30 juzuk al-Quran tidak lama lagi,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini