PUTRAJAYA: Pertumbuhan ekonomi negara perlu diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan dan peluang pekerjaan berkualiti bagi memastikan manfaat pembangunan turut dinikmati rakyat, bukan sekadar diukur berdasarkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, kejayaan dasar kerajaan perlu dinilai berdasarkan perubahan yang dirasai rakyat, bukan hanya jumlah peruntukan atau bilangan penerima manfaat.
Beliau berkata, kemajuan bagi sesebuah keluarga bermakna mempunyai pendapatan mencukupi, akses kepada pendidikan berkualiti, pekerjaan bermutu dan simpanan untuk menghadapi kecemasan.
“Bagi sesebuah keluarga, kemajuan bermakna pendapatan yang mencukupi, pendidikan yang baik, pekerjaan bermutu dan sedikit ruang simpanan ketika kecemasan,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Mohd. Shahar Abdullah sempena Sambutan Hari Statistik Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.
Menurut Akmal Nasrullah, ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan dengan pertumbuhan bagi tahun ini diunjurkan antara 4.8 hingga 5.3 peratus, manakala bagi 2027 antara 4.2 hingga 5.2 peratus.
Beliau berkata, prospek ekonomi negara disokong permintaan domestik, pasaran buruh yang menggalakkan dan momentum pelaburan, meskipun persekitaran global kekal mencabar.
Bagaimanapun, katanya, negara masih berdepan cabaran struktur termasuk pertumbuhan produktiviti yang perlu dipercepat, ketidakpadanan kemahiran dengan keperluan industri serta jurang pembangunan antara wilayah.
Selain itu, perbezaan keupayaan antara perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan syarikat besar turut perlu ditangani bagi memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati lebih banyak pihak.
“Pelaburan bernilai tinggi tidak semestinya menghasilkan pendapatan tinggi jika tenaga kerja dan pembekal tempatan tidak dapat menyertai rantaian nilai,” katanya. – UTUSAN











