Agrobank sokong pemuliharaan Tasik Ampang Hilir

Agrobank sokong pemuliharaan Tasik Ampang Hilir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agrobank dengan kerjasama Jabatan Perikanan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya menganjurkan Program Kelestarian Perikanan Darat – Mitigasi Memburu Ikan Asing di Tasik Ampang Hilir bagi menyokong pemuliharaan ekosistem air tawar.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut menghimpunkan kira-kira 250 peserta daripada tujuh agensi dan organisasi, termasuk 43 warga kerja Bahagian Pembangunan Agrobank.

Antara aktiviti utama merangkumi penangkapan ikan asing menggunakan pukat, jala, pancing dan bubu yang disediakan oleh Jabatan Perikanan Malaysia, selain pelepasan 1,100 ekor benih ikan baung dan 300 ekor benih ikan lampam sungai ke tasik berkenaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, usaha memelihara sumber semula jadi memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan sektor agromakanan negara.

“Kelestarian sektor agromakanan bukan hanya bergantung kepada pembiayaan dan pembangunan industri, tetapi juga kepada kesihatan alam sekitar yang menyokongnya.

“Melalui inisiatif ini, kami mahu warga kerja Agrobank bukan sekadar memahami kepentingan pemuliharaan, tetapi turut memainkan peranan secara langsung dalam menjaga sumber semula jadi untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Turut serta dalam program berkenaan ialah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Aquaria KLCC, TCE Tackles serta Persatuan Pemancing Semalaysia.

Menurutnya, rekod Jabatan Perikanan Malaysia menunjukkan daripada 154 ekor ikan yang direkodkan di Tasik Ampang Hilir, sebanyak 146 ekor atau 94.8 peratus merupakan spesies ikan asing.

“Hanya lapan ekor merupakan spesies tempatan termasuk ikan ketutu, haruan, puyu dan kaloi, sekali gus menunjukkan keperluan usaha mitigasi yang terancang bagi membantu memulihkan keseimbangan ekosistem tasik,” katanya.

Mengulas lanjut, Agrobank berkata, pihak bank akan terus memperkukuh kerjasama dengan rakan strategik bagi melaksanakan inisiatif kelestarian yang menyokong pemeliharaan sumber semula jadi sebagai asas penting kepada keterjaminan makanan.

“Langkah ini sekali gus menggalakkan penglibatan warga kerja dalam aktiviti kesukarelawanan yang memberi manfaat kepada komuniti dan alam sekitar,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini