PUTRAJAYA: Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) bakal diberi mandat untuk mengintegrasikan data daripada pelbagai sumber menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Statistik 2026, sekali gus memperkukuh penghasilan statistik rasmi negara.
Ketua Perangkawan, Siti Asiah Ahmad berkata, RUU berkenaan dijangka diwartakan hujung minggu ini sebelum dikuatkuasakan pada Disember depan.
Menurutnya, pelaksanaan RUU itu akan memperluas kaedah pengumpulan data rasmi yang sebelum ini banyak bergantung kepada tinjauan.
“Jabatan Perangkaan telah mempunyai mandat untuk membuat integrasi data melalui mana-mana data yang ada di dalam negara ini, baik di peringkat agensi kerajaan atau sumber-sumber lain,” katanya ketika berucap di sambutan Hari Statistik Negara 2026 di sini, hari ini.
Siti Asiah berkata, pembaharuan itu merupakan antara perubahan utama bagi memperkukuh peranan DOSM dalam pengurusan data negara.
Katanya, statistik rasmi yang berkualiti penting bagi memastikan keputusan dibuat berasaskan bukti, bukan semata-mata pandangan atau andaian.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, institusi pengajian tinggi (IPT) dan agensi kerajaan juga boleh menggunakan data tanpa perlu memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan DOSM bagi tujuan berkenaan.
Katanya, jabatan turut menetapkan garis panduan pengurusan data bagi mengawal selia urusan penggunaan data tersebut. – UTUSAN











